Tag: ITBM

  • John Adair Menyingkap Kepimpinan Rasulullah

    Tidak sedikit yang menulis dan meneliti pelbagai aspek kehidupan baginda Rasulullah, Muhammad S.A.W. Antara karya yang dikenali mengungkap tentang keperibadian baginda adalah karya Michael H. Hart yang meletakkan Rasulullah S.A.W sebagai orang yang paling berpengaruh dalam sejarah kemanusiaan.

    John Adair mungkin agak jarang dikenali berbanding sifu dan guru kepimpinan (leadership) barat yang lain. Beliau memperkenalkan model kepimpinan yang mudah namun amat berkesan, iaitu Action-Centered Leadership. Secara ringkasnya, model ini menekankan fungsi pemimpin untuk memastikan (1) sesebuah kumpulan itu berupaya menyelesaikan tugasan; (2) mengekalkan semangat kekitaan dalam sebuah kumpulan; dan (3) menguruskan keperluan individu dalam kumpulan tersebut seperti rumusan gambar rajah di bawah.

    Sumber foto

    Justeru itu, beliau menulis kepimpinan Rasulullah S.A.W tidak mengikut tempoh masa atau secara kronologi, sebaliknya memilih peristiwa-peristiwa signifikan seperti masa kecil Rasulullah S.A.W yang dibesarkan dalam kalangan masyarakat Badwi dan pekerjaan awal baginda S.A.W sebagai seorang gembala. Diturunkan beberapa isi penting daripada karangan John Adair ini:

    1. Adat keluarga kaum Quraisy memberikan anak mereka kepada keluarga angkat Badwi bagi mengupayakan bakal pemimpin dan ketua kaum ini untuk memahami budaya dan kebiasaan rakyat biasa. Hal ini melahirkan pemimpin yang memahami pelbagai keperluan individu dalam kumpulan yang dipimpin olehnya;
    2. Pemimpin yang baik berperanan seumpama gembala yang memastikan kawanannya sentiasa bergerak bersama dan mendapat keperluan yang mencukupi. Gembala perlu berfungsi untuk memastikan ‘perpaduan’ sesebuah kumpulan. Allah juga telah mentakdirkan bahawa para nabi terdahulu seperti Nabi Musa A.S pernah menjadi gembala;
    3. Menjadi pemimpin memerlukan pertimbangan dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan, seperti para ketua kaum Quraisy yang bermesyuarat dalam majlis untuk memutuskan urusan dan pembahagian tugasan antara kaum di Makkah;
    4. Rasulullah S.A.W dikenali sebagai seorang yang amanah dan dipercayai dalam kalangan pedagang Makkah. Integriti dan amanah merupakan kunci kepercayaan yang mengikat dalam segala bentuk perhubungan manusia, sama ada hubungan peribadi mahupun secara profesional;
    5. Pemimpin yang rendah diri sedar akan keterbatasan diri mereka dan sentiasa bersedia mendengar nasihat. Sifat rendah diri juga membentuk peribadi yang sederhana dan berhikmah turut diikuti para sahabat seperti Saidina Umar, yang terbukti berkesan membentuk bangsa Arab pasca kewafatan Rasulullah S.A.W.

    John Adair sendiri bukanlah seorang yang asing dengan tanah Arab, bahkan beliau pernah berkhidmat sebagai tentera selama beberapa tahun di Mesir sebelum kembali di United Kingdom bagi menyambung pelajaran. Karya ini walaupun bukan dalam bentuk karangan sirah atau sejarah yang biasa kita tekuni, memberikan kesimpulan dan rumus pelajaran kepimpinan yang dapat kita teladani dari sebaik-baik manusia, Muhammad S.A.W.

  • Biblioholisme, Sakit Yang Bukan Penyakit

    Di luar perancangan, saya rupanya sedang menatap dua buah buku seputar dunia buku dan pembacaan. Pertama, buku How To Read A Book dan kedua Biblioholisme buah tangan tuan Shaharom TM Sulaiman. Buku yang hanya setebal 106 muka surat ini merupakan rangkuman 26 tulisannya sebagai kolumnis di pelbagai majalah dan akhbar seperti Massa, KOSMO dan Utusan.

    Sejumlah esei ini kemudiannya dibahagikan kepada empat bahagian, iaitu Buku dan Daya Pikatnya; Biblioholisme: Mengenal Dunia Pencinta Buku; Travelog Pencinta Buku; serta Sisi Aneh Dunia Buku. Secara peribadi, saya membahagikan buku ini kepada dua, satu bercerita mengenai sosok pencinta buku manakala seterusnya mengenai dunia buku dan perpustakaan.

    Tuan Shaharom yang berpengalaman luas sebagai pustakawan di Perpustakaan Negara Malaysia berjaya merakamkan pencinta buku yang tak didendang, the unsung bibliophile seperti Jaafar Abd. Rahim dan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir. Insan seperti ini, menurut beliau tidaklah berpendidikan tinggi namun kecintaan kepada buku dan ilmu menjadikan mereka terpandang di mata penyelidik bahkan orientalis!

    Disebabkan batasan panjang sebuah kolum, sayang saya tidak dapat menikmati sepenuhnya tulisan-tulisannya terutama sekitar dunia buku dan perpustakaan. Berbeza sekali dengan bacaan saya terhadap himpunan esei HAMKA dari kolum di majalah Panji Masyarakat, mungkin sahaja lebih panjang atas kapasiti buya HAMKA selaku editor di majalah berkenaan.

    Ada satu dua coretannya yang menarik mengenai pandangannya terhadap buku berbentuk memoir dan juga catatan pengalamannya di lautan manuskrip di Iran. Suatu pelajaran buat kita mengenai cumulative spirit, menurut Prof. Syed Hussein Alatas dalam kalangan orang Syiah memelihara tradisi keilmuan mereka zaman-berzaman.

    Walaupun esei-esei pendek beliau ini ada ketikanya kurang nikmat bagi saya, buku ini begitu baik sebagai hadiah dari seorang bibliofil kepada rakan-rakannya yang baru berjinak dalam dunia membaca.