Pengakuan Perempuan Nan Bercinta

Muhammad Fakhruddin
Latest posts by Muhammad Fakhruddin (see all)

Perempuan Nan Bercinta adalah pengakuan Faisal Tehrani, bukan label provokatif yang over-rated baginya. Karya inilah yang mencerminkan sarwa pandangnya terkini.

Pembaca yang baik tidak terburu-buru untuk menyimpulkan karya ini sebagai sekuel kepada Tuhan Manusia berdasarkan nama watak seperti Dr. Ali Taqi dan keluarganya, Khadijah si isteri, Hussein, Zainab, dan Siti Fatimah anak-anaknya. 

Seperti Tuhan Manusia, Ali Taqi meneruskan jihad terhadap jalur-jalur pemikiran barat. Liberalisme sebagai tunjang, dan kini feminisme menjadi sasaran.

Kebijaksanaan Faisal Tehrani terserlah apabila kelangsungan persoalan dari Tuhan Manusia dijawab dalam novel ini yang menjadi titik utama menjadikan Perempuan Nan Bercinta sebagai sekuel kepada Tuhan Manusia. Selepas Zehra dan meninggalnya Talha, Tengku Idora pula menjadi mad’u (orang yang didakwahkan) beliau.

Maka berlangsunglah bahagian pertama novel ini dengan ‘lembut’ berputar kepada pergulatan watak masing-masing dalam pencarian secara imbas kembali. Tidak mengejutkan, pencarian mereka berjejak kepada Dr. Ali Taqi. Bab 18 inilah bermulanya bahagian kedua novel ini, dan Siti Fatimah binti Ali Taqi muncul dengan cintanya yang penuh dengan penantian.

Dari sini, ‘pertempuran’ menjadi berjela-jela dan lebih dahsyat terserlah dalam temu ramah bersama Dr. Ali Taqi dalam bab 29. Dr. Ali Taqi tidak mampu menahan dirinya, mungkin emosinya terganggu disebabkan tuduhan sebagai agen Iran oleh WikiLeaks hingga terpacul kalimah kasar dan angkuh seperti  “Untuk menjawab soalan dangkal saudara…” dan “… saya tidak menulis untuk ditujukan kepada tuan-tuan. Saya mengarang untuk masa hadapan.” 

Pada titik ini, Dr. Ali Taqi ialah pseudonim Faisal Tehrani.

Pada hemat saya dalam era langit terbuka ini novel Faisal Tehrani bukan hanya satu-satunya agen propaganda Syiah. Novel ini sepatutnya membuka ruang bicara kepada masyarakat untuk memahami Islam sebagai satu konsep sosial, tidak sekadar persoalan seputar fiqh dan ibadah semata-mata. Inilah juga yang ditekankan oleh tokoh yang dihormati pengarang, Pendeta Za’ba nukilkan dalam Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri:

Adapun bagi orang yang tiada mempunyai kelayakan atau alat perkakas yang cukup, iaitu ilmu pengetahuan untuk menjalankan ujian dan timbangan sendiri itu, maka sayugianya janganlah sekali-kali ia berpuas hati sahaja dengan hal keadaannya tiada mempunyai kelayakan itu; jangan sentiasa mengaku dan mengikrarkan dirinya tiada kelayakan sahaja dan tiada harapan akan dapat kelayakan. Kerana jika diperbuatnya demikian nescaya sampai bila pun ia tidak akan mendapat kelayakan itu.

Ia hendaklah sentiasa berusaha bersungguh-sungguh memperdapatkan seberapa banyaknya perkakas-perkakas yang boleh memberi kelayakan itu kepadanya. Ia hendaklah sentiasa mencari dan menuntut segala ilmu-ilmu alat yang jadi perkakas bagi memberi dia kelayakan yang dikehendakkan itu sehingga diperoleh dengan sempurnanya.

Golongan agamawan pada masa yang sama perlu mengisi ruang ini untuk memberi pencerahan kepada masyarakat. Pada hemat saya, perlu wujud rencana menyatakan pendirian atau radd dan seterusnya dialog yang disiarkan secara terbuka di media massa.

Hal ini pernah terjadi antara Prof. Syed Hussein Alatas dengan Majlis Ugama Islam Singapura di ruangan Berita Harian pada tahun 1970-an, iaitu perselisihan pandangan mereka mengenai pendermaan organ.

Sedikit sebanyak, jentikan karya sebegini ini menyedarkan golongan agamawan agar tidak sentiasa selesa. Masyarakat zaman ini tidak lagi boleh berada dalam kerangka ‘apa hukumnya itu dan ini’ sebaliknya perlu belajar bagaimana asas kerangka ilmu bagi memahami pelbagai khilaf dan juga hukum dan ijtihad yang dikeluarkan ulama silam. Begitulah pertembungan idea yang melatari kehidupan umat zaman-berzaman.

Perempuan Nan Bercinta
Faisal Tehrani
Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)
2012
410

Posted

in

by

Comments

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.