- Iakah Malapetaka Iklim? – 21/01/2024
- Buku dan Debu Kehidupan Kota Kaherah – 06/09/2023
- Beberapa Ingatan daripada Penat – 24/01/2023
Senaskhah buku tulisan Allahyarham Prof. Dr. Syed Hussein Alatas menjadi bahan diskusi. Beliau memilih pendapat Roberto Michels mengenai definisi intelektual, iaitu ‘persons possesing knowledge, or in a narrow sense, those whose judgement, based on reflection and knowledge, derives less directly and exclusively from sensory perception than in case of non-intellectuals’. Dalam kata lain, sosok intelektual ini boleh dikenal pasti daripada ciri-ciri seperti:
- Datang dari pelbagai kelas atau golongan dengan bilangan yang berbeza;
- Mereka sama ada menyokong atau menentang pelbagai gerakan budaya atau politik;
- Pekerjaan mereka secara keseluruhannya pelbagai, seperti penulis, pensyarah, penyair, wartawan dan lain-lain;
- Adakalanya mereka menjarakkan diri mereka dari masyarakat dan bergaul dalam kalangan mereka;
- Mereka lebih berminat dengan idea, mengenai agama, kehidupan yang lebih baik, seni, budaya, perancangan ekonomi dan nasionalisme sambil melihatnya dari perspektif luas dan jalinan antaranya; dan
- Kelompok intelektual hanya sebilangan kecil dari masyarakat.
Buku Intellectuals in Developing Societies ini membicarakan peranan kelompok intelektual yang berfungsi dalam pembinaan masyarakat yang sedang membangun. Pada hemat beliau, tiada kelompok intelektual yang berfungsi berbanding negara-negara Asia lain seperti Indonesia dan India disebabkan kemerdekaan kita ‘dikurniakan’ oleh pihak British tanpa perjuangan, hingga kita disentak peristiwa 13 Mei 1969. Justeru, beliau mengutarakan konsep ‘intellectual leadership’.
Apakah peri pentingnya kelompok ini untuk memimpin masyarakat?
Kelompok intelektual berupaya mengenal pasti masalah-masalah, mentakrifkan masalah tersebut, menganalisis masalah dan memberi penawar bagi mengatasi masalah tersebut. Contoh yang dibincangkan panjang lebar dalam buku ini ialah masalah kemiskinan peribumi yang cuba diubati dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dengan lahirnya sekalian banyak profesional, adakah kita masih lagi ketandusan intelektual?
Intelektual Anti Sosial?
Dalam catatan terdahulu, saya ada mencatatkan bahawa para intelektual kadang kala memilih untuk bergaul dalam kalangan mereka sahaja dan sedikit menjauhkan diri daripada masyarakat.
Prof. Dr. Syed Hussein Alatas menjawab persoalan ini dalam bab The Intellectuals and Developing Societies, menerusi huraian beliau berkenaan istilah intelektual yang berfungsi (functioning intellectuals). Beliau menukilkan:
In order for the intellectual to function he must first establish intellectual contact with his own kind by means of publication, lectures, meetings and small group gatherings.
Pada hemat saya, mesyuarat dan perbincangan kelompok kecil sudah pasti hanya melibatkan golongan intelektual sama ada beliau seorang pensyarah bersama rakan-rakan akademik mahupun seorang seniman/sasterawan dalam lingkungan seniman dan penulis yang lain. Pada sisi yang lain, kita tidak dapat menafikan bahawa intelektual juga berupaya berkomunikasi dengan masyarakat menerusi penerbitan dan syarahan. Dalam hal ini, penerbitan yang dimaksudkan tidak terhad kepada penulisan jurnal yang ‘terpenjara’ dalam lingkungan akademik semata-mata, tetapi juga penulisan kolum dan rencana di media massa yang lebih hampir dengan masyarakat.
Mengambil manfaat daripada kemajuan teknologi Internet, kini sesiapa sahaja boleh menghasilkan tulisan mahupun video sendiri yang boleh diakses dari pelbagai penjuru dunia. Para intelektual kini lebih mudah untuk menulis dan menyiarkannya di blog, bahkan menghasilkan vlog yang bisa ditonton ribuan manusia. Walau bagaimanapun, golongan intelektual mesti bersinergi untuk menghasilkan impak kepada masyarakat seperti peranan intelektual Russia hingga mencetuskan revolusi.
Leave a Reply