Skip to content →

I, Khoo Kay Kim : Perjalanan Sejarawan

I, KKK Book Cover I, KKK
Kay Kim Khoo
Historians
Kala Publishers
2017
Paperback
137

Sejarah sebagai salah satu cabang sains sosial dan kemanusiaan, masih berdiri sebagai disiplin yang mempunyai kaedah pembuktian dan bersandarkan fakta. Sebaliknya, sebagai sejarawan yang dirakam atau merakam kenang-kenangan hidupnya, tidak dapat lari daripada paparan kecenderungan dan pandangan peribadi yang masih belum teruji secara ilmi.

Memories comes in impressions, history in facts.

Sumber foto: optionstheedge.com

Prof. Khoo Kay Kim sendiri mengakui bahawa beliau membayangkan autobiografinya I, KKK ini disajikan dalam bentuk pelbagai gambar dan potret tempat-tempat beliau membesar dan mendewasa seperti rumah nenek yang menjadi tempat lahirnya di Kampar, Perak. Beliau memulakan autobiografi ini dengan pengkisahan susur galur keluarganya yang merupakan keluarga keturunan Peranakan-Hokkien, berdasarkan kisah-kisah nenek beliau.

Hubungan yang rapat dengan nenek beliaulah yang menyemai minat awal terhadap sejarah.

Penceritaan susur-galur keluarga beliau tidak terhad kepada mengenali who’s who dalam keluarganya, bahkan merakam latar sosioekonomi etnik Peranakan pada ketika itu. Mereka yang giat dalam bidang perniagaan ini tidak hanya tertumpu di Pulau Pinang, malah diaspora mereka mencapah sehingga ke Teluk Anson, Klang, Singapura, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.

Kegawatan dan Perang Dunia

Kegawatan Great Depression yang melanda Amerika Syarikat pada tahun 1930-an ketika itu banyak mempengaruhi naik turun perniagaan keluarga datuk beliau. Pada waktu itu, kedua-dua keluarga datuk beliau telahpun berhijrah ke Perak untuk terlibat dalam perniagaan perlombongan bijih timah. Keadaan bertambah gawat dengan kedatangan Jepun ke Tanah Melayu beberapa tahun sesudah itu.

Mengambil jalan yang berbeza, ayah beliau memilih untuk berkhidmat dalam pentadbiran British selepas menamatkan pendidikan menengah. Hal ini memberi pendedahan yang lebih meluas kepada beliau, kerana dibesarkan di beberapa bandar sekitar Perak seperti Teluk Anson (kini dikenali sebagai Teluk Intan), Ipoh, dan Grik. Masa beliau mendewasa banyak mencorakkan pegangan beliau dalam hal pembinaan negara bangsa ini menerusi sukan kegemarannya, bola sepak dan pergaulan bersama rakan-rakan merentas bangsa dan agama.

Peribadi Ayah

Rentetan kisah hidup Prof Khoo Kay Kim semasa di universiti, menjadi guru sesudah itu menyambung semula pengajian di Universiti Malaya dan berkeluarga sedikit sebanyak dipengaruhi oleh peribadi dan gaya didikan oleh ayahnya. Kegemaran beliau dalam sukan bola sepak mendapat galakan, walaupun ayahnya sendiri bukan seorang pemain bola sepak. Diasuh oleh keluarga yang mengambil sikap neutral dalam politik, Prof sendiri kurang berminat untuk terlibat dalam mana-mana gerakan politik dan ideologi sewaktu di Universiti Malaya, Singapura.

Sumber foto: thenutgraph

Walau bagaimanapun, hal ini tidak mengurangi kecaknaan beliau terhadap peristiwa-peristiwa penting dalam pembentukan negara ini. Membesar sewaktu zaman konflik dan perang sudah cukup untuk membekaskan ingatan mengenai ancaman-ancaman yang bakal tumbuh dalam Malaysia yang baru sahaja mencapai merdeka.

Dalam banyak tempat, Prof. bercerita secara kasual mengenai perjalanan hidupnya. Dalam pengkisahan tersebut masih juga diselitkan pemerhatian beliau mengenai perkembangan masyarakat setempat mahupun warga Universiti Malaya Kuala Lumpur yang baru sahaja ditubuhkan. Di bawah bimbingan Prof. Wang Gungwu, Prof. K. G. Tregonning malah Pendeta Za’ba sewaktu di Singapura, beliau akhirnya memilih untuk mengabdikan diri dalam dunia akademik yang ketika itu sedang hangat membahaskan perspektif sejarah yang bersifat kebaratan (Western/Euro-centric) melawan perspektif ketimuran (Asian/Malaysian-centric).

Sumber foto: thenutgraph

Menuju ke hujung I, KKK lebih banyak berkisar soal keluarga baharu yang beliau bina bersama suri hati, N. Rathimalar yang dikenali sewaktu menjadi guru di ACS Teluk Intan. Sama ada ia sengaja disusun begini untuk memberi peluang kepada penerbitan sambungan autobiografi ini, ataupun bertujuan untuk menutup pelbagai episod duka dan hasrat yang tidak kesampaian oleh Prof. sendiri. Beliau tidak memperincikan sumbangan beliau dalam penghasilan Rukun Negara mahupun perkembangan karier beliau setelah menyelesaikan pengajian peringkat sarjana dan kedoktoran di UM Kuala Lumpur.

Di akhir buku ini, Prof Khoo Kay Kim mencoretkan kegusaran beliau mengenai pembinaan negara bangsa ini dan institusi pendidikan yang semakin melemah. Beliau meluahkan dalam satu temu bual bahawa:

I always feel that I have achieved very little. My conclusion is that when you’re a true Malaysian, you are a very lonely person.

The Straits Times: Tuesday, 21 February 2006

Published in Cendekia Resensi

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.