Skip to content →

Jejak-Jejak di Pantai Zaman: Visi Kemasyarakatan Pendeta Zaaba

Jejak-jejak di Pantai Zaman Book Cover Jejak-jejak di Pantai Zaman
Ungku A. Aziz
UM Press
2008

Fenomena kemiskinan khususnya dalam kalangan orang Melayu sering diperkatakan ramai orang, namun sedikit yang cuba meneliti isu ini dengan lebih mendalam dan menawarkan penyelesaian yang tuntas. Betapa seriusnya isu kemiskinan ini sehingga agenda membasmi kemiskinan tanpa mengira kaun menjadi salah satu strategi utama dalam Dasar Ekonomi Baru yang menjadi dasar kerajaan sejak tahun 1970.

Kepentingan membicarakan perihal kemiskinan orang Melayu ini telah disedari oleh seorang guru dalam lingkungan akhir 20-an. Guru tersebut mula menghantar rencana ke akhbar The Malay Mail bertajuk The Poverty of the Malays yang disiarkan pada Disember 1923, diikuti dengan siri respon, balasan dan akhirnya rencana kesimpulan, iaitu The Salvation of the Malays daripada guru tersebut. Beberapa tahun kemudian, beliau menyiarkan semula rencana tersebut dalam bahasa Melayu dengan tajuk Kemiskinan Orang Melayu dan Jalan Keselamatan bagi Orang Melayu dalam akhbar Al-Ikhwan. Guru tersebut ialah Pendeta Zaaba, yang lebih dikenali dalam lapangan bahasa dan persuratan Melayu. Buku Jejak-Jejak di Pantai Zaman karya Prof. DiRaja Ungku A. Aziz cuba mengetengahkan idea Pendeta Zaaba mengenai isu kemasyarakatan yang tidak dipedulikan sewaktu hayatnya.

Permata yang Terpendam

Pendeta Zaaba sedari muda merupakan pengarang yang kritikal dan mempunyai pandangan yang tajam. Penulisan awal beliau baik dalam akhbar berbahasa Melayu mahupun berbahasa Inggeris sangat kritikal terhadap dasar-dasar yang dilaksanakan oleh pentadbiran British ketika itu, terutamanya berkaitan dengan dasar pelajaran.

Dalam kedua-dua rencana Zaaba yang membicarakan isu kemiskinan orang Melayu ini masih lagi mengkritik dasar pelajaran yang dilaksanakan pada ketika itu, walaupun dikarang secara tersirat oleh Zaaba. Hal ini berkait dengan tekanan yang diterima oleh Zaaba secara peribadi dalam dua bentuk. Pertama, peristiwa kenaikan gajinya ditahan oleh pentadbiran British yang dikisahkan olehnya dalam biografi Pendeta Zaaba dalam Kenangan susunan Abdullah Hussain dan Khalid M. Hussain. Kedua, beliau menerima tekanan jiwa dan brainwashing daripada tali barut British yang merupakan seorang pegawai Melayu dalam pentadbiran British pada ketika itu. Tekanan dalam bentuk kedua ini dikupas oleh Prof. Ungku Aziz dalam bahagian Koda Awal dan Koda Akhir dalam Jejak-Jejak di Pantai Zaman.

Disebabkan tekanan yang hebat ini, idea dan polemik mengenai kemiskinan orang Melayu yang diketengahkan oleh Pendeta Zaaba tidak mendapat tempat dalam kalangan pemimpin Melayu era 1920-an hingga 1940-an. Padahal Pendeta Zaaba bukanlah tokoh yang asing dalam lapangan politik dan persatuan Melayu pada ketika itu dan hal ini turut diakui oleh Prof Ungku A. Aziz sendiri. Beliau merupakan antara orang penting dalam Kongres Melayu Se-Malaya yang diadakan pada 1 Mac 1946 yang menjadi pencetus kepada penubuhan UMNO. Hal ini merupakan satu kerugian buat pemimpin dan masyarakat pada waktu itu yang sedang merancang dan bergerak ke arah kemerdekaan.

Kemiskinan Menurut Pendeta Zaaba

Dalam memerihalkan kemiskinan orang Melayu, Pendeta Zaaba tidak mengehadkan kepada maksud kekurangan pemilikan harta benda semata-mata. Kemiskinan orang Melayu pada ketika itu menurut Pendeta Zaaba turut merangkumi kekurangan pengetahuan dan potensi bagi memajukan diri sendiri. Hal ini berkait rapat dengan salah satu punca kemiskinan yang dihuraikan kelak, iaitu ilmu pengetahuan.

Pendeta Zaaba merumuskan tiga punca utama kemiskinan orang Melayu, iaitu penindasan oleh pemimpin masyarakat, kekeliruan dalam memahami iktikad agama, dan kekurangan ilmu pengetahuan. Dua punca kemiskinan yang pertama diulas sekali lalu berkemungkinan disebabkan hal-hal tersebut bakal menyinggung beberapa pihak. Agakan peribadi saya membayangkan bahawa hal kekeliruan dalam memahami iktikad agama ini telah beliau huraikan dengan lebih lanjut dalam tulisan beliau yang lain, yang kini diterbitkan sebagai Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri.

Kekurangan ilmu pengetahuan yang dimaksudkan oleh Pendeta Zaaba ialah kekurangan pendedahan terhadap ilmu pengetahuan semasa sama ada ilmu dalam lapangan akademik seperti perubatan, perundangan dan kejuruteraan, mahupun ilmu berbentuk vokasional seperti pertukangan dan perniagaan. Menurut beliau, orang Melayu mempunyai potensi dalam mengembangkan bakat dan kepintaran mereka setanding dengan bangsa-bangsa lain. Pendeta Zaaba meletakkan syarat bahawa ilmu pengetahuan yang diterima untuk keluar daripada pelbagai belenggu kemiskinan itu mestilah ‘diberi pelajaran daripada jenis yang betul dan munasabah’.

Prof. Ungku A. Aziz melihat bahawa pemerhatian Pendeta Zaaba masih relevan dengan dapatan yang
beliau perolehi daripada kajian mengenai fenomena kemiskinan desa yang dizahirkan menerusi makalah Zahir dan Batin Ekonomi Melayu. Beliau berpendapat bahawa fenomena kemiskinan pada hakikatnya tidak mengenal perbezaan kaum dan bangsa namun tatanan masyarakat yang wujud sejak pentadbiran British menjadikan fenomena kemiskinan lebih dominan berlaku dalam kalangan orang Melayu. Hal ini disebabkan majoriti orang Melayu pada ketika itu merupakan petani dan peladang di kawasan desa.

Tiga punca utama kemiskinan desa yang dikenal pasti oleh Prof. Ungku A. Aziz ialah daya usaha (produktiviti) yang rendah, penindasan dan pengabaian. Kekurangan pengetahuan atau pelajaran yang betul dan munasabah akibat dasar pelajaran sedia ada menyumbang kepada daya usaha yang rendah dalam kalangan orang Melayu pada ketika itu. Dengan pengetahuan dan pelajaran yang betul dan munasabah memungkinkan sumber tenaga kerja Melayu pada ketikan mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik dan menghasilkan pendapatan yang lebih tinggi.

Idea yang melihat pendidikan sebagai tangga pergerakan sosial ini merupakan pandangan functionalists. Golongan ini melihat institusi pendidikan bertanggungjawab memberikan pendidikan secara berstruktur kepada pelajar dan para pelajar perlu berusaha keras untuk mencapai kejayaan seperti standard yang ditetapkan oleh institusi tersebut. Hal ini menjadikan institusi pendidikan seolah-olah menjadi bayangan kepada realiti masyarakat, bahawa sesiapa yang bersungguh-sungguh berusaha akan berjaya. Secara tidak langsung, pendidikan yang dilaksanakan akan berorientasikan kerjaya dan kehendak industri.

Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai lagi faktor yang mempengaruhi keberkesanan kaedah atau dasar pelajaran yang cuba diterapkan seperti latar belakang sosioekonomi seorang pelajar. Pendeta Zaaba sebagai seorang guru menyedari faktor-faktor tersebut mengusulkan beberapa alternatif yang boleh dilaksanakan oleh mana-mana persatuan, badan bukan kerajaan atau orang perseorangan, iaitu:

  1. Mengumpulkan dana menerusi persatuan untuk menawarkan biasiswa pelajaran khususnya kepada pelajar-pelajar yang miskin;
  1. Menyediakan latihan kemahiran untuk anak-anak muda dengan mengupah tenaga pengajar yang mahir (di sini Pendeta Zaaba mencadangkan agar digaji tukang-tukang orang Cina yang mahir untuk mengajar anak muda Melayu pada waktu itu!); dan
  1. Mana-mana persatuan atau badan terlibat dalam penulisan, penterjemahan dan penerbitan buku-buku yang dapat meningkatkan pengetahuan masyarakat. Pada masa yang sama, persatuan atau badan tersebut boleh menyediakan ruang perbincangan baik dalam bentuk lisan (syarahan atau forum) mahupun tulisan (penulisan rencana dan makalah).

Perihal faktor penindasan dan pengabaian dikupas lanjut oleh Prof. Ungku A. Aziz berdasarkan penelitiannya sebagai ahli ekonomi terhadap fenomena kemiskinan desa pada waktu itu. Menurut beliau, penindasan terhadap golongan petani di desa dilakukan oleh golongan pekedai dan tuan tanah tanpa mengira bangsa atau kaum golongan tersebut. Keadaan miskin dan tertindas yang dialami oleh golongan petani ini tambah diburukkan dengan kelemahan perancangan pembangunan yang cenderung untuk membangunkan kawasan bandar berbanding kawasan desa. Kecenderungan ini menyebabkan kemudahan awam seperti jalan, sekolah dan kemudahan kesihatan di kawasan desa berada dalam keadaan kurang memuaskan berbanding kawasan bandar.

Kritikan berterus-terang ini sememangnya beliau tujukan kepada golongan profesional dan cerdik-pandai Melayu pada waktu itu. Golongan ini setelah berjaya mendaki tangga hierarki sosial disebabkan peluang untuk mendapatkan pendidikan dan pekerjaan yang lebih baik, sengaja melupakan fenomena kemiskinan yang membelenggu masyarakat di kampung halaman mereka. Golongan inilah yang menerima pandangan bahawa kemalasan merupakan punca kemiskinan, atau diistilahkan oleh Prof Syed Hussein Alatas sebagai mitos peribumi malas. Penerimaan mitos peribumi malas oleh golongan profesional dan cerdik-pandai Melayu ini turut dikritik keras oleh Prof Ungku A. Aziz yang menegaskan bahawa ‘adalah satu penghinaan besar terhadap petani dan nelayan Melayu, yang kebanyakannya bekerja sebelum fajar menyinsing’.

Membaca Pendeta Zaaba Pada Tahun 2018

Pandangan Pendeta Zaaba, walaupun terbit dalam suasana dan konteks zamannya, masih lagi relevan untuk direnungkan semula pada tahun 2018. Fenomena kemiskinan kini telah berubah bentuk, daripada kemiskinan desa kepada kemiskinan bandar. Adakah ruang lingkup dan punca-punca kemiskinan yang dikenal pasti Pendeta Zaaba masih wujud dan berlaku pada masa kini?

Yang pasti, isu jurang kekayaan serta kenaikan kos sara hidup masih dibahaskan oleh pelbagai pihak yang berkepentingan. Penerbitan Jejak-Jejak di Pantai Zaman ini merupakan satu penghargaan seorang profesor ulung dalam bidang ekonomi tanah air terhadap buah fikiran seorang pendeta yang telah diabaikan selama ini. Benarlah Prof. Syed Naquib Al-Attas apabila beliau menobatkan Pendeta Zaaba sebagai ‘Pemukul Rebana Masyarakat dalam Dewan Persuratan Kita’.

Published in Resensi

Comments

Leave a Reply