Membaca Dunia Pendeta Zaaba

Pendeta Za'ba dalam kenangan
Abdullah Hussain, Khalid M. Hussain,
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
2000
352

Biography of Zainal Abidin bin Ahmad, Malaysian intellectual.

“Tidak sahaja ibunya, bapanya pun hairan melihat kelakuan anaknya yang ganjil itu. Pada suatu hari dengan diam-diam ia mengintip kelakuan anaknya. Alangkah kagumnya demi ia melihat pada tiap-tiap pelepah itu penuh dengan ayat-ayat Qur’an bekas tangan anaknya.”

Melewati tarikh 23 Oktober ini menandakan sudah lebih empat dekad Tan Sri Dr. Zainal Abidin bin Ahmad, lebih dikenali sebagai Pendeta Zaaba pulang ke rahmatullah. Beliau bukan sahaja ahli bahasa dan persuratan Melayu, bahkan mencatat buah fikirnya dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, agama serta kemajuan sosioekonomi bangsa khususnya kaum Melayu pada ketika itu.

Minatnya kepada bidang persuratan berputik sejak kecil lagi, ditambah galakan dan tunjuk ajar oleh bapa dan saudaranya sendiri. Berdasarkan temu bual bersama penyusun biografinya Pendeta Za’ba dalam Kenangan, beliau mengakui kurang meminati penulisan cerita yang menjadi medan penulis-penulis kreatif.  

Sejak mengenal huruf-huruf jawi dan rumi, bertambah pula minat beliau membaca kitab dan buku berbahasa Melayu kepunyaan ayahnya, sebelum mampu membeli buku sendiri. Betapa sayangnya pendeta dengan buku-buku miliknya, sanggup diatur untuk dibawa berpindah dari Singapura ketika perang melawan Jepun semakin marak.

Membaca Dunia, Membaca Kata

Paulo Freire, seorang lagi tokoh pendidikan dari Brazil menegaskan peri penting aksi membaca dunia (reading the world) berhubung kait dengan aksi membaca kata (reading the word). Justeru masyarakat kampung yang berpendidikan agama, daun pisang yang menjadi lembaran Zaaba kecil belajar menulis, serta halangan bapa dan herdikan guru agama terhadapnya yang  bersekolah Inggeris membentuk pandangan seorang Za’ba pada masa muda.

Sejak bertugas sebagai guru sekolah beliau telah menulis rencana-rencana kritikal di akhbar Melayu dan Inggeris menyentuh perbezaan keadaan sekolah Melayu dan Inggeris, hingga menarik perhatian pentadbiran Inggeris pada waktu itu. Kenaikan gajinya ditahan pihak Inggeris berkait dengan tulisannya yang tajam, sebelum dibayar semula selepas kenaikan pangkat.

Sesudah itu apabila sudah dinaikkan pangkat untuk pekerja di pejabat penolong pengarah pelajaran yang terletak di Kuala Lumpur. Pada ketika ini beliau berpeluang membaca lebih banyak buku, diadun dengan kematangan pengalaman, menulis renungannya mengenai kemunduran orang Melayu dalam dua makalah panjang bertajuk Poverty of the Malays dan The Salvation of the Malays. Beliau menginsafi bahawa sebab kemunduran orang Melayu bukan semata-mata dek tekanan penjajah, bahkan sikap dan perangai masyarakat ini sendiri. Sedikit sebanyak makalah berkenaan mengendurkan rasa curiga pelbagai pihak atas sikap kritikalnya terhadap pentadbiran Inggeris.

Apabila O.T Dussek mengisi kekosongan jawatan di atas, beliau memindahkan jabatan tersebut ke Tanjung Malim. Beliaulah yang mengusulkan penubuhan Pejabat Karang-Mengarang yang turut melibatkan Pendeta Za’ba sebagai salah seorang kakitangan awal. Sewaktu bertugas di bahagian inilah beliau menyusun beberapa buku pelajaran seperti Chanai Bachaan dan Ilmu Bahasa Melayu Penggal I & II, di samping menterjemah beberapa karya pengarang Inggeris seperti Mark Twain dan Shakespeare.

Pada tahun 1930 beliau telah menyiapkan sebuah buku agama bertajuk Falsafah Takdir atau Syaukat al-Azali dalam Islam, yang akhirnya diharamkan di Perak dan beliau dituduh berfahaman Mu’tazilah. Namun beliau tidak menyatakan sebarang respon negatif lain terhadap tulisan-tulisannya dalam temu bual tersebut, melainkan kisah kenaikan gajinya yang ditahan itu.

Pencinta Ilmu dan Buku

Pada usia 52 tahun, beliau mendapat tawaran kerja sebagai pensyarah bahasa Melayu di Universiti London. Kesempatan ini beliau manfaatkan untuk mendapatkan ijazah sarjana muda. Pada masa yang sama, kesempatan ini digunakannya untuk mengembara di bumi Eropah. Antara yang beliau temui sewaktu kelana ialah allahyarham Prof. Syed Hussein Alatas yang masih menyelesaikan ijazah kedoktoran di Belanda.

Antara subjek wajib yang diambilnya untuk memperoleh ijazah sarjana muda (B.A) ialah bahasa Belanda dan bahasa Arab. Tertunailah keinginannya untuk mempelajari bahasa Arab yang tidak kesampaian disebabkan kematian ibunya.

Sesudah pulang semula ke Tanah Melayu beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Malaya di Jabatan Pengajian Melayu, sebelum dilantik sebagai pensyarah kanan. Salah satu sumbangannya yang bermakna di jabatan itu ialah mengumpulkan naskhah-naskhah bertulisan tangan untuk disimpan di jabatan itu. Sesudah persaraannya, beliau telah menyumbangkan empat ribu naskhah buku kepada Universiti Malaya daripada koleksi peribadinya.

Beberapa bulan sebelum beliau meninggal dunia, beliau telah dianugerahkan Doktor Persuratan Kehormat daripada Universiti Kebangsaan Malaysia. Prof. Tan Sri Syed Muhammad Naquib Al-Attas menulis ucapan penganugerahan tersebut bertajuk Zainal Abidin Ahmad: Dialah Pemukul Rebana Masyarakat dalam Dewan Persuratan Kita. Atas sebab kesakitan, beliau tidak dapat hadir ke majlis tersebut namun dikunjungi oleh Prof. Al-Attas di hospital usai upacara tersebut bagi menyerahkan makalah penghargaannya.

Pendeta Zaaba, seperti juga Paulo Freire, mengingatkan kita bahawa proses menuntut ilmu memerlukan pemikiran yang kritikal dan mencatat pemerhatian dan pandangan dalam bentuk tulisan. Dalam makalahnya Wajibnya Memperkajikan Bahasa Melayu yang disiarkan majalah Qalam, beliau menyeru kepada anak Melayu yang berpendidikan tinggi:

“Ada pun yang sebaik-baiknya segala pengajian dalam bahasa-bahasa Barat, Latin dan Greek dan sebagainya, yang telah diperoleh itu hendaklah dijadikan panduan dan bandingan dan alat bagi menyiasat dan menghalus pengajian-pengajian dalam bahasa sendiri. Dengan demikian baharulah berhasil baik, berjaya dan berjasa.”

Demikianlah sedikit sorotan hidup seorang tokoh persuratan dan cendekia bangsa. Pada kebiasaannya khazanah pemikiran tokoh-tokoh ini jarang digali orang, kerana pesona kita pada kuasa berbanding idea.

Facebook Comments
Latest posts by Muhammad Fakhruddin (see all)

1 thought on “Membaca Dunia Pendeta Zaaba”

  1. Pingback: Mencari Jalan Pulang Kassim Ahmad | Oh!Buku

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.