Tag: kumpulan esei

  • Musyawarah Buku

    Musyawarah Buku, Menyelusuri Keindahan Islam dari Kitab ke Kitab ini merupakan terjemahan bahasa Indonesia edisi pertama buku Conference of the Books, The Search for Beauty in Islam, kumpulan esei oleh Dr. Khaled Abou El Fadl yang merupakan pakar perundangan Islam di UCLA.

    Edisi awal ini diterbitkan pada tahun 2001, justeru tidak menyinggung perkembangan pasca 911 dan beberapa pandangannya yang lebih kontroversi, antaranya menyentuh isu hijab dalam edisi kemas kini beberapa tahun kemudiannya. Oleh itu, kita bisa membaca esei-esei ini atau setepatnya catatan harian beliau dari tahun 1994 hingga tahun 2000, dengan lebih nyaman tanpa diusik kontroversi yang mendatang itu. Sekiranya masih berminat, ada satu-dua bab daripada edisi kemas kini yang dimuatkan dalam blog Dr. Khaled, di samping beberapa komentar yang berlegar di alam maya.

    Secara peribadi, membaca untuk menjatuhkan hukum bukanlah kegemaran saya. Kita boleh membaca karya pelbagai pengarang, tokoh dan ilmuwan secara sedar akan kecenderungan mereka, tetapi tidaklah mudah terikut-ikut dengan apa yang cuba dicadangkan, didendangkan atau diajarkan dalam kitab-kitab itu. Maka saya menghargai keamanan fikir untuk mengenali seorang Khaled Abou El-Fadl, daripada tajuk buku ini, juga seorang pencinta, kalau pun tidak seorang penggila buku.

    Pemilihan tajuk asalnya saya kira disengajakan, diinspirasikan daripada tajuk puisi Parsi yang terkenal, iaitu Mantiq at-Tayr atau Conference of the Birds karangan Farid al-Din Attar. Tajuk itu selayaknya bagi buku ini yang tidak berminat untuk menunjuk-nunjukkan hukum atau menayangkan apa-apa fatwa.

    (more…)
  • Aku Kafir, Kau Siapa?

    Membaca tajuknya sahaja sudah kita ketahui Ooi Kok Hin benar-benar ingin menyentuh soal identiti yang mendarah daging dalam persoalan harian kita.

    Sayangnya persoalan identiti ini diungkap apabila timbul kepentingan tertentu di waktu tertentu, bukan dengan maksud mahu meraikan dan saling memahami seperti yang dituntut Al-Quran, li ta’arafu (Surah Hujurat 49: ayat 13).

    Di samping beberapa anekdot peribadi dan satira pendek, beberapa rencana dalam Aku Kafir, Kau Siapa? (Jangan Jawab) menyentuh tentang isu pendidikan. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini sahaja saya kira isu pendidikan mula disikapi melebihi bilangan pelajar cemerlang dalam peperiksaan awam, terima kasih kepada pendedahan masyarakat kita kepada data-data yang antarabangsa seperti tinjauan TIMSS, PISA dan kedudukan universiti sedunia.

    Sikap dan pendirian kita dalam hal ini turut dicorakkan oleh latar pendidikan dan masyarakat masing-masing. Kebanyakan daripada kita menempuhi alam sekolah rendah di sekolah kebangsaan, sebelum memilih atau “dipilih oleh sistem” untuk ke sekolah menengah yang pelbagai. Ada yang kekal di sekolah kebangsaan, ada yang ke sekolah elit (SBP, MRSM, sekolah premier), tak kurang juga yang memilih sekolah seperti sekolah vernakular (jenis kebangsaan) dan sekolah agama.

    (more…)