- Iakah Malapetaka Iklim? – 21/01/2024
- Buku dan Debu Kehidupan Kota Kaherah – 06/09/2023
- Beberapa Ingatan daripada Penat – 24/01/2023
Wacana mengenai faham ilmu ini bukanlah terlalu asing buat Malaysia, kerana salah seorang tokoh yang terlibat dalam wacana ini ialah Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Turut membantunya ialah anak-anak murid seperti Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud dan juga Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang terkehadapan sewaktu era 70-an. Hasil perjuangan tokoh-tokoh inilah yang membuahkan sebuah universiti Islam di Gombak.
Buku Faham Ilmu: Pertumbuhan dan Implikasi adalah salah satu cadangan Fathi Aris Omar, sudah berumur hampir dua dekad rupanya. Ia merupakan koleksi rencana yang ditulis pelbagai sarjana tempatan seperti Prof. Wan Mohd Nor dan Dr. Siddiq Fadzil. Berikut saya turunkan beberapa rumusan daripada buku ini.
1) Dr. Ghazali Basri
Rencananya bertajuk Di Sekitar Permasalahan Ilmu sesuai benar diletak sebagai mukadimah, kerana memakai pendekatan sorotan kajian (literature review). Permasalahan yang dimaksudkan ialah persoalan-persoalan epistemologi (theory of knowledge) merentas pelbagai tamadun dari Greek hingga ke zaman moden.
2) Ahmad Muhammad Said
Beliau ialah seorang pegawai Kementerian Pendidikan dan menulis rencana bertajuk Budaya Ilmu. Tajuk yang sangat menarik, namun banyak kupasannya telah disentuh dalam rencana-rencana terdahulu memandangkan makalah ini merupakan makalah terakhir dalam buku ini. Beliau menggariskan lima ciri yang praktikal bagi melaksanakan budaya ilmu:
- Berusaha memperolehi ilmu dengan pelbagai cara (berfikir, membaca dan berwacana);
- Berusaha mengembangkan ilmu (mengkaji dan menulis);
- Memanfaatkan ilmu untuk kebaikan;
- Beradab dengan orang berilmu (murid-guru); dan
- Komitmen memperjuangkan kebenaran dan menolak kepalsuan.
3) Dr. Siddiq Fadzil
Satu-satunya rencana yang menganalisis secara langsung projek Islamisasi ilmu dan peranan para cendekia umat seperti Muhammad Abduh, Seyyed Hossein Nasr, Prof. Al-Attas dan Prof. Ismail Raji Faruqi.
Namun dalam pendahuluan rencana beliau banyak menfokuskan kritikan terhadap Muhammad Abduh sebagai tokoh jalur reformis-modernis, yang membenihkan kekeliruan dalam menyerasikan sains dan Islam. Lanjutan dari kritik ini dihuraikan metodologi dan pendekatan tokoh-tokoh lain seperti Prof. Al-Attas dan Prof. Al-Faruqi.
4) Prof. Wan Mohd Nor
Walaupun tegas mempertahankan gagasan Islamisasi ilmu, beberapa saranan dalam dua rencana tulisan Prof. Wan menarik untuk diamati. Rencana tersebut menunjukkan bahawa gagasan ini dapat berinteraksi dengan cabaran semasa dan praktikal untuk diamalkan.
Dalam rencana Pandangan Hidup Islam dan Implikasi Terhadap Pendidikan di Malaysia, ada saranan berkaitan pendidikan wanita masa kini yang tunduk kepada sistem ekonomi berasaskan keuntungan (profit-driven economy). Ukuran status seorang manusia dikecilkan kepada berapa wang yang dapat dibawa pulang ke rumah, yang turut mengakibatkan kekeliruan golongan muda terhadap pendidikan.
Rencana Konsep Ilmu dan Implikasi kepada Perkembangan Kurikulum pula lebih menekankan sisi praktikal mengenai gagasan Islamisasi ilmu ini. Disentuh mengenai perkembangan ilmu dari segi bahan ilmu dan juga kaedah penyampaian ilmu. Sisi kecil yang menarik perhatian saya ialah ulasan Prof. Wan terhadap matlamat dan kaedah pendidikan jasmani atau sukan masa kini, berbanding matlamat asal yang ditunjukkan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam dan juga Plato.
Seperti yang saya sebutkan dalam rencana-rencana lain, kumpulan rencana ini masih berbicara dalam nada gagasan Islamisasi ilmu Prof. Al-Attas. Melihat tarikh penerbitannya pada tahun 1990, tidak menghairankan orientasinya begitu dengan tertubuhnya UIA dan ISTAC di bawah seliaan Prof. Al-Attas sendiri. Setidak-tidaknya inilah rakaman semangat zaman (zeitgeist) para intelektual tanah air pada dekad berkenaan, yang perlu disambung oleh kita generasi masa kini.
Leave a Reply