Author: Muhammad Fakhruddin

  • Pak Subky Mengenang Tunku Abdul Rahman

    Istimewa Terkenang
    Subky Latif
    2009
    168

    Koleksi tulisan pak Subky telah dibukukan di bawah judul Istimewa Terkenang. Sesuai dengan tajuknya, tulisan-tulisan beliau dalam buku ini banyak menyorot sisi sejarah yang tak diungkap sesuai dengan pengalaman beliau selaku wartawan kanan Utusan satu masa dahulu..

    Apakah pandangan Dato’ Onn sebagai pengasas UMNO terhadap kemerdekaan negara? Bagaimanakah cara Tun Razak bersiasah dan bezanya dengan Dato’ Seri Najib kini? Ada beberapa catatan menarik berkaitan strategi dan suasana politik zaman Tun Abdul Razak yang boleh dikaji dan dikupas lanjut oleh peminat siasah. Buku ini turut memberi kredit kepada Tunku Abdul Rahman dalam kesungguhannya menjayakan Majlis Tilawah Antarabangsa, bukan sahaja istiqamah menghadirinya saban malam bahkan menjemput menteri-menteri bukan Islam turut serta.

    Istimewa Terkenang Tunku

    Terdapat sisi lain kehidupan Tunku Abdul Rahman yang diungkap baik oleh pak Subky Latif. Tunku kerabat istana Kedah, antara istana yang kuat menjaga identiti Melayu Islam berdepan dengan helah penjajah. Diletak penasihat Inggeris konon hendak melicinkan pentadbiran negeri, hendak diubah segala yang sudah berjalan lancar seperti cuti hari Jumaat dan lain-lain. Hanya Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor sahaja yang mengekalkan identiti itu hingga kini.

    Tentu sahaja orang istana begitu akrab dengan tulisan jawi. Surat-menyurat ke istana dan sultan tidak dapat tidak mesti dengan tulisan jawi. Jawi juga senjata mempertahankan negeri di Tanah Melayu setelah kejatuhan empayar Melaka dari tipu daya penjajah. Pak Subky menukilkan perihal Tunku menulis ucapan-ucapannya:

    Apabila dia menggunakan tulisan jawi, rangka ucapannya berjalan lancar dan tidak tersekat-sekat. Jika surat-surat yang sampai kepadanya dalam tulisan jawi dan tulisan rumi, dia membaca surat dalam tulisan jawi dulu. Yang bertulisan rumi dibaca kemudian.

    Antara media yang menggerakkan kesedaran orang Melayu pada waktu itu ialah Utusan Melayu dalam tulisan jawi. Hinggakan Lee Kuan Yew yang mahir tulisan jawi beria mahu menguasai syarikat akhbar itu dan akrab dengan pengarahnya, Yusof Ishak yang kemudian diangkat sebagai Presiden Repulik Singapura yang pertama.

    Tunku dan Tilawah

    Antara orang yang menggerakkan tilawah Al-Quran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa ialah Tunku sendiri. Tunku bukan sahaja menganjurkan tilawah, bahkan atas kapasiti Perdana Menteri menyeru penduduk Kuala Lumpur datang memenuhkan bangku-bangku kosong di majlis itu.

    Tambah menarik, beliau mengosongkan jadual dan menghadirinya setiap malam berlangsungnya tilawah. Dari segi protokol, apabila seorang Perdana Menteri menghadiri sesuatu majlis para menteri juga mesti hadir ke majlis tersebut dan datang lebih awal daripada Perdana Menteri.

    Tidak menghairankan apabila menteri-menteri yang bukan Islam pada zaman tersebut seperti Tun Tan Siew Sin dan Tun Sambathan turut hadir walaupun tidak memahami makna ayat-ayat Al-Quran yang dikumandangkan. Tiada pula bukti menunjukkan Tunku memaksa menteri-menterinya. Beliau secara bersahaja bukan sahaja mengajak mereka datang untuk semalam, bahkan sepanjang berlangsungnya tilawah pada tahun itu. Begitu juga pada tahun-tahun mendatang dan diteruskan oleh Tun Razak. Di situlah peluang dakwah yang besar untuk mengenalkan mereka kepada Islam sebagai rahmatan lil alamin, kesejahteraan kepada umat manusia sejagat.

  • Rustam A. Sani dan Alur Zamannya

    Ketemu di alur zaman Book Cover Ketemu di alur zaman
    Rustam A. Sani
    Media Icon
    2009
    86

    Political and social views of Malaysian prominent figures.

    Sesudah meninggalnya Rustam Abdullah Sani, atau dikenal sebagai pak Rustam, ada beberapa buku terbit mengumpulkan esei-esei eceran yang tersiar di akhbar. Salah satunya ialah Ketemu di Alur Zaman terbitan Media Icon. Mungkin kini tidak ramai mengenali sosok ini yang juga waris kepada Ahmad Boestamam.

    Seperti yang dicatat pada pendahuluan penerbit, buku ini menfokuskan tulisan beliau mengenai sebelas orang tokoh yang beliau kenali — tidak semesti diketahui umum.

    Walau bagaimanapun boleh dikatakan setiap tokoh punyai sumbangan tersendiri kepada masyarakat, dan secara tidak langsung mencerminkan lingkungan hidup dan pergaulan pak Rustam.

    Tokoh-tokoh yang beliau ulas pula boleh kita amati daripada dua golongan, sama ada teman-teman intelektual atau pemain politik semasa. Cuma sedikit ralat apabila penerbit tidak menyertakan sumber asal dan tarikh tulisan-tulisan beliau ini, yang dapat memberi konteks kepada pembaca. Namun dapat ditebak bahawa tulisan ini berlegar sekitar awal 2000-an, sewaktu peralihan kepimpinan negara daripada Tun Dr. Mahathir kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

    Lingkungan Intelektual dan Perjuangan

    Daripada tulisan mengenai sebelas tokoh ini, hampir separuh daripadanya mewakili lingkungan perjuangan yang beliau geluti. H. M Dahlan mewakili zaman akademiknya di UKM; Usman Awang dan Kassim Ahmad — intelektual yang beliau hormati; Abdul Razak Ahmad dan Syed Husin Ali ialah teman seperjuangan dalam parti.

    (more…)
  • Al-Fateh Alaf Baru

    Sultan Muhammad Bin Murad Al-Fateh hanyalah manusia biasa. Secara sederhana, beliau hanyalah pelengkap impian moyangnya, Uthman Ertughul…

    Conquer Constantinople and turn it into a rose garden.

    Ustaz Syaari Abdul Rahman telah menulis buku baru bertajuk Berfikir Gaya Al-Fateh terbitan PTS, menunjukkan minat mendalam seputar tokoh berkenaan. Jauh langkah saya ke bumi Ireland untuk menjiwai Al-Fateh menerusi modul beliau, Akademi Mahasiswa Al-Fateh. Menerusi bantuan pihak penganjur dan para fasilitator, modul tersebut dicanai menjadi tema-tema IQ, EQ, SQ, dan dakwah sebagai output kepada bekal 3Q tersebut.

    Adakah kita sudah berinteraksi dengan sejarah dengan cara yang BETUL?

    Soalan menggugat itu ditujukan kepada kami di Perhimpunan Ukhuwwah Insaniyyah Seluruh Ireland (PUISI). Soalan yang tidak menuntut huraian jawapan berkajang-kajang kertas seperti S.P.M tetapi perlu direalisasikan dalam kehidupan.

    Mengapa Al-Fateh, bukan tokoh pemuda lain?

    Istimewanya sosok Al-Fateh kerana beliau berbangsa Turki, bukan Arab seperti Nabi S.A.W namun memenuhi ciri-ciri hadis baginda mengenai sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera yang membebaskan Konstantinopel. Beliau dan tenteranya begitu menjaga amalan ibadah seperti solat fardu berjemaah di samping amalan sunat seperti puasa dan solat-solat sunat yang lain. Beliau hidup pada zaman umat mula bangkit setelah khalifah Abbasiyah dibantai hebat oleh Monggol di Baghdad.

    Membaca sejarah yang tercatat dalam Al-Quran dan hadis tidak terhad kepada pemahaman secara literal. Acapkali qissatul Quran tidak mencatatkan butiran rinci mengenai masa, tempat dan manusia-manusia yang terlibat antaranya kisah Ashabul Kahfi dan kisah Ashabul Ukhdud yang dihurai lanjut dalam sebuah hadis Nabi. Meskipun Konstantinopel telah dibuka oleh Al-Fateh, masih wujud jutaan ‘Konstantinopel’ yang membelenggu umat masa kini untuk dibuka generasi Al-Fateh masa depan.

    Membaca semula sejarah tokoh dan mengikuti program sebegini bukanlah untuk menyemarakkan rasa hero-worshipping. Uthmaniyah dengan segala kemegahan yang mereka capai tidak suci dari sisi hitam mereka sendiri.

    Yang penting kita ambil dari sejarah Uthmaniyah ialah keberkesanan sistem pendidikan dan pentadbiran yang didukung oleh ulama’ berwibawa menghasilkan generasi berkualiti.

    Beruntung benar dapat bertemu dengan Ustaz Syaari Abdul Rahman walaupun datang dan pulang terpaksa membayar harga mahal masa cuti musim sejuk dan tenaga yang terkorban bertarung dengan demam.

    Kafarah 2011, menuju 2012 yang lebih segar.