- Iakah Malapetaka Iklim? – 21/01/2024
- Buku dan Debu Kehidupan Kota Kaherah – 06/09/2023
- Beberapa Ingatan daripada Penat – 24/01/2023
Saya hampir tidak menyangka ia novel karya Faisal Tehrani. Seingat saya, antara novel-novel yang pernah dihasilkannya inilah yang paling nipis. Namun karya pertama beliau bersama penerbit PTS tidak mengecewakan bahkan punya makna tersendiri. (Ulasan ini ditulis sebelum keputusan JAKIM mengharamkan penjualan novel ini)
Faisal Tehrani tak jemu-jemu berkhutbah kepada pembaca dengan 1001 fakta dan maklumat buat mengenalkan kita akan sejarah agama dan bangsa. Walaupun berfokus kepada Batu Bersurat Kuala Berang yang mencatatkan tarikh kedatangan Islam ke Alam Melayu ini, kita dihiburkan dengan watak-watak budaya popular seperti Sharifah Ezzati atau Nono dan Seeta Adeeni yang tergila-gilakan hero Malaya Azhan Kaya.
Tugasan akhir sekumpulan pelajar Akademi Seni Islam untuk menyiapkan doku-drama mengenai kedatangan Islam ke Tanah Melayu akhirnya gagal, tetapi diberi penamat yang tidak mudah ditelah pembaca.
Kontroversi Faisal Tehrani
Saya kurang pasti mengapa beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia blog. Adakah ditekan dek isu penahanan pengikut Syiah Malaysia 10 Muharam yang lalu atau kesibukannya sebagai pensyarah di Akademi Seni & Warisan Kebangsaan(ASWARA)?
Beliau mengambil pendekatan kontroversi apabila mengemukakan hipotesis baru mengenai kedatangan Islam ke Tanah Melayu. Islam datang ke Alam Melayu — menurut sejarah yang kita pelajari — dari 3 tempat iaitu:
- Dari tanah Arab, teori yang diterima ramai termasuk oleh Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas.
- Dari China oleh sejarawan S.Q Fatimi.
- Dari benua kecil India oleh orientalis Belanda Snouck Hurgronje.
Novel ini membuat hipotesis bahawa Islam datang ke Alam Melayu dari Parsi, setidak-tidaknya dibawa oleh pengikut mazhab Jafari (disandarkan kepada Imam Jaafar As-Sadiq, salah seorang imam Syiah juga guru kepada Imam Abu Hanifah). Ini berdasarkan tulisan jawi yang digunakan ialah jenis nasta’liq yang lazim dalam mazhab Jafari, bukan khat kufi mahupun naskhi. Sejauh mana kebenaran dan kesanggupan sejarawan tempatan untuk menjawab hal ini?
Seni Islam, Ke Mana Arah Tujunya?
Sebongkah Batu di Kuala Berang juga menekankan peri pentingnya dimajukan bidang seni Islam khususnya lakonan dan penguasaan media, Islam tsaqafi menurut Faisal Tehrani. Justeru beliau memaparkan tokoh yang sinonim dengan pendekatan ini iaitu Wali Songo di Jawa.
Jika Wali Songo bisa melawan Hindu dengan wayang kulit, masakan kita tidak berupaya melawan Hollywood dengan filem yang punya dana kerajaan jutaan ringgit. Namun keghairahan menghasilkan filem atau cerita dakwah mesti dipandu agar tidak menconteng arang di muka Islam.
Di sini, konflik tercipta antara Profesor Ramlah dan tuan pengarah, Zulkifli ketika mahu mengambil pelakon yang terkenal kontroversi, Sharifah Ezzati. Maka sewajarnya saya menutup kalam dengan petikan ucapan Prof. Budriz selaku produser eksekutif doku-drama ini untuk renungan kita, agamawan, budayawan dan seniwan yang masih sedar dan berbangga dirinya selaku Melayu Muslim.
Kita harus bersikap menghargai seni dan warisan budaya, bertolak ansur dengan budaya tempatan; ya seperti yan ditunjukkan oleh Wali Songo ketika menyebarkan Islam di tanah Jawa yang terkenal kental dengan pengaruh Hindu pada waktu itu, tetapi dengan meneguhkan tunjang paling asasi iaitu akidah.
Leave a Reply