Sesudah meninggalnya Rustam Abdullah Sani, atau dikenal sebagai pak Rustam, ada beberapa buku terbit mengumpulkan esei-esei eceran yang tersiar di akhbar. Salah satunya ialah Ketemu di Alur Zaman terbitan Media Icon. Mungkin kini tidak ramai mengenali sosok ini yang juga waris kepada Ahmad Boestamam.
Seperti yang dicatat pada pendahuluan penerbit, buku ini menfokuskan tulisan beliau mengenai sebelas orang tokoh yang beliau kenali — tidak semesti diketahui umum.
Walau bagaimanapun boleh dikatakan setiap tokoh punyai sumbangan tersendiri kepada masyarakat, dan secara tidak langsung mencerminkan lingkungan hidup dan pergaulan pak Rustam.
Tokoh-tokoh yang beliau ulas pula boleh kita amati daripada dua golongan, sama ada teman-teman intelektual atau pemain politik semasa. Cuma sedikit ralat apabila penerbit tidak menyertakan sumber asal dan tarikh tulisan-tulisan beliau ini, yang dapat memberi konteks kepada pembaca. Namun dapat ditebak bahawa tulisan ini berlegar sekitar awal 2000-an, sewaktu peralihan kepimpinan negara daripada Tun Dr. Mahathir kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Lingkungan Intelektual dan Perjuangan
Daripada tulisan mengenai sebelas tokoh ini, hampir separuh daripadanya mewakili lingkungan perjuangan yang beliau geluti. H. M Dahlan mewakili zaman akademiknya di UKM; Usman Awang dan Kassim Ahmad — intelektual yang beliau hormati; Abdul Razak Ahmad dan Syed Husin Ali ialah teman seperjuangan dalam parti.
(more…)