Al-Ameen Serve Holdings
Pada mulanya, saya hendak menahan diri daripada membeli kumpulan cerpen Nisah Haron ini, beserta buku Bagaimana Saya Menulis hasil usaha beliau dan Dr. Mawar Shafie menghimpunkan cerpen-cerpen penulis muda bersama proses berkreatif mereka. Barangkali saya kurang sabar menanti Pesta Buku tidak lama lagi, saya menempah 2 buku ini menerusi Ujana Ilmu.
Ada yang aneh mengenai 16 cerpen dalam Rindu Seorang Rafik ini. Pertama, ia ‘tewas’ dari segi ketebalan jika dibandingkan dengan kumpulan cerpen Tiga Kali Seminggu. Hal ini disebabkan Faisal Tehrani memuatkan novelet Kegawatan sepanjang 58 muka surat.
Kedua, usai membaca beberapa kumpulan cerpen Nisah Haron seperti Impian Tsu-Ryi, saya dapati cerpen seperti Impian Tsu-Ryi juga terkandung dalam kumpulan cerpen ini. Secara peribadi saya menganggap pilihan ini untuk menonjolkan kekuatan beliau sebagai penulis dengan latar belakang perundangan.
Nisah Haron begitu bijak menyusun cerita dan menyisipkan fakta dan ilmu bantu, khususnya mengenai dunia perundangan dan adat Perpatih amalan masyarakat di Negeri Sembilan.
Selain Impian Tsu-Ryi, cerpen-cerpen beliau yang berkisar adat Perpatih sering menggondol anugerah sastera tanah air. Antaranya Pusaka Cendana yang memperkenalkan pembaca kepada bongai, satu seni persembahan yang semakin hilang ditelan zaman.
Konflik timbul apabila si peniup seruling mahu mewariskan bongai kepada cucunya yang ditentang waris lain. Adakah bongai sekadar satu kesenian abstrak yang tidak boleh diwasiatkan menurut Islam atau ia lebih daripada konflik perebutan harta pusaka? Semuanya akan dijawab oleh peguam Cendana Mulyahati.
(more…)