Tag: tips penulisan

  • Surah Yusuf Mengajar Kita Menulis Novel?

    Panduan Menulis Novel Teknik Surah Yusuf
    Ainon Mohd
    PTS
    2011
    258

    Orang tua berpesan agar ibu mengandung rajin mengamalkan surah Yusuf agar anak lelakinya kelak kacak persis Nabi Yusuf. Sebaliknya Puan Ainon Mohd telah melatih ratusan penulis khususnya di bawah PTS agar mengamalkan Teknik Surah Yusuf agar novel mereka menjadi indah dan laku di pasaran.

    Teknik Surah Yusuf yang beliau gagaskan merupakan satu pendekatan yang praktikal terhadap teori sastera hasanah pegangan beliau. Dua prinsip penting dalam teknik ini yang berhubung langsung dengan teori sastera hasanah ialah aspek halal dan haram dalam sesebuah karya dan aspek keindahan sebuah karya, berpandukan ciri-ciri yang terkandung dalam surah Yusuf.

    Antara perkara yang mempengaruhi halal dan haram sesebuah karya ialah gambaran mengenai bentuk tubuh atau pakaian watak yang menyerlahkan unsur ketampanan, kejelitaan atau seksualitinya dan perincian dan keterangan mengenai sesuatu perbuatan mungkar, seperti contoh mencuri dan membunuh.

    Berdasarkan penelitian Puan Ainon Mohd, beberapa unsur yang mendatangkan keindahan kepada sesebuah cerita adalah seperti berikut:

    • Pertama – cerita berasaskan kisah benar, antara lain seperti Hikayat Hang Tuah, novel Negeri 5 Menara dan novel Laskar Pelangi dan terbukti karya-karya ini mempunyai pembaca ramai dan laku keras di pasaran;
    • Kedua – cerita yang mengetengahkan lelaki sebagai watak utama. Semua golongan pembaca tanpa mengira jantina boleh menikmati ceritanya. Kebiasaannya lelaki kurang berminat untuk membaca cerita yang meletakkan wanita sebagai watak utama (atau, terpulang kepada kecenderungan dan minat pembaca itu sendiri);
    • Ketiga – cerita yang indah banyak menggunakan ayat dialog berbanding ayat naratif. Beliau mendapati bahawa terdapat 86 ayat daripada 111 ayat yang terkandung dalam surah Yusuf ialah ayat dialog yang berfungsi untuk menggerakkan plot-plot cerita;
    • Keempat – Surah Yusuf tiada unsur imbas kembali atau flashback. Oleh itu, penulis mudah untuk menyusun plot untuk sesebuah cerita; dan
    • Kelima – cerita yang menggunakan bahasa laras tinggi atau bahasa yang bermutu.

    Terdapat pelbagai persoalan yang beliau sentuh, antaranya mengenai penciptaan konflik, pelukisan watak jahat serta pemilihan tema yang sesuai. Berbalik kepada teori sastera hasanah, sesebuah cerita mestilah berfungsi sebagai

    (1) mengajak pembaca berfikir [Surah Yusuf:ayat3-4];

    (2)menyampaikan peringatan Tuhan kepada pembaca [Surah Yusuf:ayat 104 & 109]; dan

    (3) menyampaikan pelajaran [Surah Yusuf:ayat 111].