Author: Muhammad Fakhruddin

  • Manuklon: Fiksyen Sains dan Politik

    Darko Suvin sudah lama mengimpikan sai-fai yang begini. Dia Marxist, daripada prakata buku teorinya mengenai sai-fai, Metamorpheses of Science Fiction, sudah dapat kita telah hasrat ini. Dia mengimpikan sai fai yang bicara perihal realiti masyarakat lewat jargon-jargon seperti cognition, estrangement dan novum yang sulit untuk kita fahami. Sebagai pembaca, saya tak boleh marah-marah, tapi sabar mengikuti huraiannya yang berdikit-dikit mengenai istilah ini.

    Tetapi membaca Suvin dan novel-novel lama Dr. Rahmat Haroun seumpama takdir. Perkenalan dengan novel Panggil Aku Melaju membuatkan saya cuba mengenali bumbu-bumbu siasah dalam beliau. Ada dua karakter yang melambangkan karier si penulis, keterujaannya dengan teori-teori psikologi (Freud atau Jung) serta ketajaman pemerhatiannya untuk melukiskan semula peristiwa-peristiwa masyarakat, secara halus atau terus-terang.

    Dalam banyak novel Dr Rahmat Haroun, akan ada wataknya yang bermimpi, berkhayal hatta berdelusi. Di situ akan ada huraian dan sisipan yang berbaur psikologi, agakan saya kerana saya bukan peneliti bidang ini. Dalam delusi itu pun, dia membantah PPSMI seperti yang tercatat dalam Panggil Aku Melaju. Namun bukan novel ini yang menjadi maksud bicara saya.

    (more…)
  • Aku Kafir, Kau Siapa?

    Membaca tajuknya sahaja sudah kita ketahui Ooi Kok Hin benar-benar ingin menyentuh soal identiti yang mendarah daging dalam persoalan harian kita.

    Sayangnya persoalan identiti ini diungkap apabila timbul kepentingan tertentu di waktu tertentu, bukan dengan maksud mahu meraikan dan saling memahami seperti yang dituntut Al-Quran, li ta’arafu (Surah Hujurat 49: ayat 13).

    Di samping beberapa anekdot peribadi dan satira pendek, beberapa rencana dalam Aku Kafir, Kau Siapa? (Jangan Jawab) menyentuh tentang isu pendidikan. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini sahaja saya kira isu pendidikan mula disikapi melebihi bilangan pelajar cemerlang dalam peperiksaan awam, terima kasih kepada pendedahan masyarakat kita kepada data-data yang antarabangsa seperti tinjauan TIMSS, PISA dan kedudukan universiti sedunia.

    Sikap dan pendirian kita dalam hal ini turut dicorakkan oleh latar pendidikan dan masyarakat masing-masing. Kebanyakan daripada kita menempuhi alam sekolah rendah di sekolah kebangsaan, sebelum memilih atau “dipilih oleh sistem” untuk ke sekolah menengah yang pelbagai. Ada yang kekal di sekolah kebangsaan, ada yang ke sekolah elit (SBP, MRSM, sekolah premier), tak kurang juga yang memilih sekolah seperti sekolah vernakular (jenis kebangsaan) dan sekolah agama.

    (more…)