Author: Muhammad Fakhruddin

  • Dalam Terang, Sebuah Puisi

    Seingat saya, saya tertarik dengan satu video yang menampilkan puisi Pelbagai Cahaya dalam kumpulan puisi ini.

    Menurut Prof. Wan Mohd Nor dalam prakatanya, Dalam Terang yang ditukangnya sebagai sebuah puisi panjang, dijuzukkan kepada beberapa bahagian, boleh juga dikatakan anekdot dalam puisi panjang ini.

    Adakalanya saya membaca karya sastera dengan tujuan lari dari hiruk-pikuk semasa. Tetapi kumpulan puisi Dalam Terang mengajak pembacanya memikirkan serius dilema dan polemik yang dihadapi sebagai seorang insan pada masa kini. Daripada suami dan isteri, hinggalah ilmuan dan menteri disinggung dengan misalan tersendiri.

    Kebanyakannya hadir dalam bentuk perlambangan dengan haiwan tertentu, atau keadaan tertentu.

    Perlambangan yang konsisten sebegini, sedikit sebanyak mengingatkan kelincahan word-play Syeikh Abdul Hakim Murad dalam karyanya Commentary on the Eleventh Contentions.

  • Cinta Hari-Hari Rusuhan

    Saya agak lama tidak menitip di sini. Keutamaan sudah bertukar. Tetapi mengingati betapa rusuhnya pimpinan hari ini, mungkin sudah sampai seru saya membaca novel Cinta Hari-Hari Rusuhan yang pernah menginspirasikan tajuk cerpen saya. Ah, kalam itu yang masih saya simpan, dibiarkan kering sendiri.

    Saya memang ingin ‘lari’ seperti Basri, sekejap cuma dan bukan sejauh ke kota London.

    Tentang cinta yang tak kesampaian, diragut ‘ahli politik’. Faisal Tehrani mengajar kita politik itu bisa tumbuh dalam semua keadaan dan insan. Tetapi akhirnya yang dipaparkan ialah soal mahu hidup hingga idealisme yang dipegang dibiar mati. Idealisme boleh jadi belum mati dalam diri seseorang, tetapi emosi, ekonomi, dan sekali lagi politik, sentiasa ada untuk menekan atau menyuburkan cinta tersebut.

    Membaca Cinta Hari-Hari Rusuhan juga, saya teringat tentang bising-bising perihal latar pilihan penulis muda yang kononnya tidak berciri tempatan. Bagi saya, memang latar itu sentiasa berubah. Mana mungkin hendak disamakan generasi awal DEB yang asal daripada keluarga tani di kampung, berbanding generasi pasca-DEB yang rata-ratanya daripada keluarga kakitangan awam dan pekerja industri yang sudah melata di pekan dan bandar.

    Yang kekal hanyalah nilai dan rasa yang disulam oleh pengarang. Perbezaan kelas, darjat atau apa saja akan kekal. Cinta dan kasih akan kekal, walaupun tidak bermaksud untuk dimiliki.