Author: Muhammad Fakhruddin

  • Realiti Jurang Kekayaan di Malaysia

    Perbahasan mengenai maju dan mundur status sosioekonomi bangsa Malaysia sudah bermula sejak zaman Pendeta Za’ba, fokusnya terhadap kaum Melayu. Sejak era 1950-an lagi, kesenjangan atau jurang kekayaan antara kaum sudah wujud. Dalam negara yang berbilang kaum seperti Malaysia, isu ini wujud seperti barah yang perlahan-lahan merebak sebelum mencetuskan ketegangan politik dan sosial, diingati dalam rekod kerajaan mengenai peristiwa 13 Mei.

    Dalam keghairahan kita untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, The Colour of Inequality karangan Dr. Muhammed Abdul Khalid menarik perhatian kita mengenai isu pengagihan kekayaan dalam masyarakat Malaysia. Selain daripada isu ketegangan kaum yang timbul disebabkan jurang kekayaan, ia juga membawa kepada pelbagai kesan lain dalam sistem ekonomi:

    1. Kekayaan menjana kuasa beli yang lebih tinggi, dan ia juga berupaya untuk menjana lebihan dan diwariskan kepada generasi masa depan;
    2. Pemilikan kekayaan adalah salah satu sumber pendapatan;
    3. Pemilik kekayaan mempunyai lebih akses kepada kredit berbanding bukan pemilik; dan
    4. Mereka secara tidak langsung mempunyai kuasa ekonomi dan politik lebih kuat berbanding kelas lain.

    Oleh itu, kajian mengenai pengagihan kekayaan lebih hampir kepada realiti ekonomi rakyat terbanyak berbanding ukuran purata pendapatan rakyat. Dari segi teori ekonomi pula, jurang kekayaan ini diukur menerusi pekali Gini (Gini coefficient) antara julat nilai 1 (taburan sangat tidak sama rata) dan 0 (taburan sama rata).

    Berdasarkan pekali Gini pada 2004 iaitu 0.418, pengarang menunjukkan bahawa 93.7 peratus daripada angka ini disumbangkan oleh jurang kekayaan dalam kelompok kaum, berbanding 6.3 peratus yang disebabkan jurang antara kaum di Malaysia.

    (more…)
  • Kebudayaan dalam Ilmu menurut Prof. Shaharir Mohd Zain

    Usai pulang ke Lembah Klang, saya sempat hadir ke satu dua diskusi, salah satunya anjuran Kelas Pencerahan yang menjemput Prof. Shaharir Mohd Zain menghuraikan ucapan balas penerimaan Profesor Emeritusnya (boleh dibaca di RoketKini).

    Tajuk yang dicadangkan Prof. untuk malam itu berkisar Kebudayaan dalam Ilmu. Seperti kebanyakan penyampai, beliau terlebih dahulu ‘membersihkan’ kefahaman kepada makna kebudayaan yang telah disempitkan kepada aspek keseniaan semata-mata. Tidak sah sekiranya tidak menyentuh tokoh ilmuwan, Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang telah menghuraikan konsep kebudayaan dalam syarahan perdananya yang bertajuk Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu.

    Menurutnya, kayu ukur tertinggi kebudayaan boleh dinilai berdasarkan tiga aspek iaitu bahasa, agama dan ideologi, serta ilmu. Walaupun kata ‘budaya’ ini baru sahaja muncul dalam bahasa kita, ia telah wujud dalam konsep ‘budi’ (kata yang tercantum dalam budaya tadi) yang berakar daripada tamadun Hindu-Buddha. Daripada penelitian beliau terhadap peribahasa Melayu yang mempunyai kata ‘budi’, lebih separuh daripadanya merujuk kepada ilmu.

    (more…)