Author: Muhammad Fakhruddin

  • Menjadi Seorang Lagi Melayu di Kota Inggeris

    Aku Melayu di Kota Inggeris Book Cover Aku Melayu di Kota Inggeris
    Muhaimin Sulam
    Kemilau Publika
    2013
    277

    Sekarang menjadi Melayu di kota Inggeris bukanlah sesuatu yang aneh. Sudah disurahkan sejarah, ‘anak-anak terpilih’ akan dihantar ke bumi Inggeris untuk belajar dari bumi penjajah ini. Cuma dahulu anak-anak ini dari golongan bangsawan, kini yang ditaja kerajaan mahupun tabungan sendiri.

    Tetapi mengapa Melayu, bukan sebagai Muslim atau orang Malaysia?

    Persoalan itu sudah tentu lebih diketahui oleh Dr. Muhaimin Sulam, mengapa beliau memakai tajuk Aku Melayu di Kota Inggeris sebagai tajuk blog, seterusnya travelog ini. Mungkin padang ragut yang luas terbentang di Wales mengingatkan beliau (dan saya juga!) akan bendang di kampung halaman.

    (more…)
  • Catatan Mengenai Budaya Ilmu dan 1Malaysia

    Budaya ilmu dan gagasan 1Malaysia
    Mohd. Nor Wan Daud (Wan.)
    Malaysia
    2011
    64

    Hampir sahaja saya terlupa mengenai buku “Knowledge Culture And The Concept Of 1Malaysia” sebagaimana politikus kita melupakan slogan-slogan yang mereka telah cipta. Tulisan Prof. Wan ini saya dapat secara percuma dengan pembelian memoir beliau “Rihlah Ilmiah”.

    Walaupun telah 2 kali khatam memoir, tetapi cuti musim panas lepas baru saya sempat menekuni tulisannya yang satu lagi. Pada pengamatan saya, beliau menulis dengan fokus kepada mauduk utama iaitu budaya ilmu. Boleh dikatakan tahun 2013 ialah tahun saya menekuni banyak karya-karya Prof. Al-Attas dan anak-anak muridnya.

    Pengarang cuba menghuraikan perkaitan antara budaya ilmu dengan konsep 1Malaysia, meminjam analogi sepohon yang subur yang dinukilkan Imam Al-Ghazali dalam Nasihatul Muluk. Antara yang dicatat berkaitan budaya ilmu:

    1. Pendidikan sepanjang hayat (berkaitan dengan kefahaman dinamik mengenai konsep fardu ain dan fardu kifayah)
    2. Peri penting kewujudan institusi pengajian tinggi yang melahirkan metodologi dan produk pemikiran yang inovatif.
    3. Fokus penting institusi pengajian tinggi untuk melahirkan INSAN yang berpendidikan yang beradab serta berkemahiran tinggi.
    4. Di samping itu, objektif asas institusi ini ialah menyelesaikan masalah (teringat pula peranan intelektual Prof. Syed Hussein Alatas) kemanusiaan dan alam sekitar yang membentuk keharmonian dan kebahagiaan masyarakat dan negara.
    5. Penerbit buku tempatan dan penerbit universiti menghasilkan buku-buku ilmiah yang bermakna dan diiktiraf dunia (di sini pengarang menegaskan keperluan buku-buku sebegini ditulis dalam Bahasa Melayu).
    6. Peri penting pemimpin yang berbudaya ilmu. Menurut pengarang kitab Taj al-Salatin, seorang pemimpin mestilah matang (membezakan yang haq dan batil) serta berilmu (jika tidak perlu belajar dan berdamping dengan ilmuwan).
    7. Menguasai bahasa Melayu dan sejarah negara.
    8. Menguasai bahasa ketiga dan lain-lain bahasa.
  • Kalau Saya Mahasiswa

    Membaca tajuknya sahaja, Kalau Saya Mahasiswa sudah menimbulkan teka-teki. Adakah Dato’ Saifuddin Abdullah terkenang-kenang zaman aktivisme beliau di kampus, atau satu pernyataan untuk membaiki suasana aktivisme kampus masa kini?

    Kebetulan sewaktu saya menulis ini, Dato’ bukan lagi seorang Ahli Parlimen ataupun berkhidmat di Kementerian Pengajian Tinggi. Dalam perkembangan ini, sudah banyak gerakan-gerakan anak muda baru (UTAM, Buku Jalanan, TFTN) berkembang di kampus. Jarang sekali seorang ahli politik menulis manifesto bagi portfolio kementeriannya, seperti yang termuat dalam e-buku “Kalau Saya Mahasiswa’ ini.

    Bahagian 1: ‘Romantisisme’ Gerakan Mahasiswa

    Sebagai mukadimah buku ini, penulis membuat satu analisis ringkas mengenai sejarah gerakan mahasiswa di tanah air yang sudah pun bermula sejak awal abad ke-20. Berdasarkan kajian penulis-penulis tempatan, dekad 60-an dan 70-an diletakkan sebagai zaman cemerlang gerakan mahasiswa.

    Salah satu kayu ukur yang digunakan ialah penglibatan mahasiswa dalam isu-isu masyarakat sama ada isu politik mahupun ekonomi. Barang diingat, tokoh-tokoh mahasiswa dari zaman inilah yang masih berpencak di arena politik Malaysia masa kini. Pandangan sebegini dilihat sebagai pendekatan romantis bagi memahami gerakan mahasiswa tanah air.

    Penulis sendiri yang berkecimpung dalam dekad 80-an tidak pula menganalisis lebih lanjut mengenai peristiwa-peristiwa penting aktivisme waktu itu, ataupun respon mahasiswa terhadap pelbagai dasar baru yang diperkenalkan Tun Dr. Mahathir ketika itu.

    (more…)