Membaca tajuknya sahaja, Kalau Saya Mahasiswa sudah menimbulkan teka-teki. Adakah Dato’ Saifuddin Abdullah terkenang-kenang zaman aktivisme beliau di kampus, atau satu pernyataan untuk membaiki suasana aktivisme kampus masa kini?
Kebetulan sewaktu saya menulis ini, Dato’ bukan lagi seorang Ahli Parlimen ataupun berkhidmat di Kementerian Pengajian Tinggi. Dalam perkembangan ini, sudah banyak gerakan-gerakan anak muda baru (UTAM, Buku Jalanan, TFTN) berkembang di kampus. Jarang sekali seorang ahli politik menulis manifesto bagi portfolio kementeriannya, seperti yang termuat dalam e-buku “Kalau Saya Mahasiswa’ ini.
Bahagian 1: ‘Romantisisme’ Gerakan Mahasiswa
Sebagai mukadimah buku ini, penulis membuat satu analisis ringkas mengenai sejarah gerakan mahasiswa di tanah air yang sudah pun bermula sejak awal abad ke-20. Berdasarkan kajian penulis-penulis tempatan, dekad 60-an dan 70-an diletakkan sebagai zaman cemerlang gerakan mahasiswa.
Salah satu kayu ukur yang digunakan ialah penglibatan mahasiswa dalam isu-isu masyarakat sama ada isu politik mahupun ekonomi. Barang diingat, tokoh-tokoh mahasiswa dari zaman inilah yang masih berpencak di arena politik Malaysia masa kini. Pandangan sebegini dilihat sebagai pendekatan romantis bagi memahami gerakan mahasiswa tanah air.
Penulis sendiri yang berkecimpung dalam dekad 80-an tidak pula menganalisis lebih lanjut mengenai peristiwa-peristiwa penting aktivisme waktu itu, ataupun respon mahasiswa terhadap pelbagai dasar baru yang diperkenalkan Tun Dr. Mahathir ketika itu.
Satu hal yang diakui beliau, kurangnya kajian dan dokumentasi mengenai gerakan mahasiswa khususnya pasca pindaan AUKU 1975. Menurutnya lagi, gerakan mahasiswa tidak terus mati dengan adanya pindaan AUKU 1975 sebaliknya fokus mula bertumpu ke arah platform gerakan Islam dan dakwah berbanding tradisi ‘mencabar’ pada dekad sebelumnya.
Satu lagi hal yang perlu dipuji ialah analisis beliau turut merakamkan sejarah gerakan mahasiswa yang tumbuh daripada IPTS, rakaman penting sekiranya kita ingin membincangkan isu-isu mahasiswa nasional seperti isu PTPTN dan lain-lain.
Bahagian 2: Makna Baru Mahasiswa
Kesan daripada tradisi ‘mencabar’ gerakan mahasiswa dekad lalu meninggalkan pelbagai tanggapan kepada gerakan masa kini, khususnya pihak universiti dan kerajaan sebagai pihak yang mengurus institusi pengajian tinggi. Antara salah tanggap yang biasa ialah:
- Mahasiswa dianggap sebagai penerima manfaat pembangunan semata-mata.
- Mahasiswa dianggap sebagai pemimpin masa depan.
- Persatuan/gerakan mahasiswa dilihat dan dilayan seperti persatuan-persatuan lain, tidak mempunyai ciri-ciri tertentu yang membezakan dengan persatuan di sekolah mahupun di luar.
- Persatuan/gerakan mahasiswa dianggap perlu melakukan aktiviti dan bakti (khidmat masyarakat) semata-mata, tanpa perlu melibatkan diri dalam kegiatan advokasi.
Sekiranya diteliti, anggapan pertama mempunyai kesan besar yang menimbulkan anggapan ketiga dan keempat. Anggapan yang lahir ini, boleh dikatakan semacam satu usaha pihak atas menandingi tradisi ‘mencabar’ yang pernah berlaku satu masa dahulu.
Penglibatan tokoh-tokoh mahasiswa dalam arena politik juga menjadikan gerakan mahasiswa selepas dekad 70-an dianggap sangat dipengaruhi parti politik, baik parti memerintah mahupun parti pembangkang.
Oleh itu, bagi melihat gerakan mahasiswa dengan lebih adil beliau menggariskan beberapa rukun (terkesan pengaruh Ikhwan dan rukun baiahnya di sini), beberapa objektif dan aktiviti yang ingin dicapai oleh sesebuah gerakan. Tiga rukun yang beliau gariskan, menarik untuk direnungi oleh mahasiswa ialah:
- Idealisme, berteraskan nilai-nilai murni seperti cinta akan kebenaran dan benci akan kezaliman. Ini selaras dengan seruan amar ma’ruf nahi munkar.
- Aktivisme, proses menterjemahkan idea-idea yang diperjuangkan ke dalam bentuk praktikal dan bermanfaat untuk masyarakat seperti aktiviti sukarelawan. Ini juga bersesuaian dengan semangat fastabiqul khairat.
- Intelektualisme, membudayakan ilmu dalam gerak kerja dengan menghormati dan beradab dengan golongan ulama’ dan ilmuwan serta bersungguh-sungguh menuntut dan mengembangkan ilmu.
Justeru berdasarkan analisis-analisis ini, beliau mengusulkan gagasan penghakupayaan (empowerment) mahasiswa. Gagasan ini bukanlah bererti memberi kuasa langsung, tetapi lebih kepada penyaluran idealisme dan aktivisme gerakan dengan lebih berkesan.
Antara unsur penting dalam menjayakan hal ini ialah amalan syura, yang mana mahasiswa dianggap sebagai rakan pembangunan — idea dan suara mereka didengari dan diambil perhatian. Hal ini akan menimbulkan rasa kebersamaan mahasiswa dan pihak pentadbiran universiti, sekali gus membantu kesinambungan gerakan mahasiswa.
Walaupun kini Dato’ Saifuddin Abdullah tidak lagi berada di posisi menteri, namun idea-idea beliau sewajarnya diambil perhatian oleh pihak universiti dan mahasiswa sendiri. Salah satu perkembangan yang sihat apabila kita melihat inisiatif mahasiswa sendiri mengembangkan gerakan/persatuan masing-masing seperti contoh yang telah saya sebut di atas, tanpa perlu terikat dengan birokrasi. Cuma sudahkah masyarakat, termasuk aktivis mahasiswa bersedia menyambut mahasiswa dengan wajah dan gerakan baru ini?
- Edible Economics – When You’re Hungry, but You’re an Economic Professor… – 02/01/2025
- 3 Hal dari 2024 – 31/12/2024
- Percikan dari Membakar Sastera – 30/12/2024
Leave a Reply