Author: Muhammad Fakhruddin

  • Alif Lam Lam Ha Mencetak Keresahan Anak Muda

    Alif lam lam ha Book Cover Alif lam lam ha
    Kru Universitas Terbuka Anak Muda
    Dubook Press
    2014
    182

    Pagi Ahad itu Dr. Azhar Ibrahim membuka panggung Simposium Anak Muda UTAM dengan persoalan-persoalan. Menurut beliau ada beberapa hal yang perlu diwacanakan anak muda, bahkan sesetengahnya amat kurang diberi perhatian. Mengutip daripada kertas kerja Ke Arah Cita Pemuda Yang Menjadi, persoalan tersebut merangkumi:

    1. Pendidikan lambak dan manusia lambak
    2. Kecenderungan beragama yang bermajlisan
    3. Budaya pengawetan dan romantisan
    4. Ekonomi pasaran neoliberal
    5. Demokrasi yang diperaga dan diperbadankan

    Usai ucaptama beliau, simposium itu seolah-olah dikuasai tema Islam dan Islamis dari pagi sampai ke petang. Zikri Rahman dari Buku Jalanan cuba melontarkan persoalan-persoalan di luar lingkungan tersebut namun tidak mencetuskan ghairah pada ahli panel lain mahupun hadirin. Begitu juga kehadiran Yuva dari Sosialis Alternatif kurang memancing perhatian hadirin.

    (more…)
  • Bahlut dan Boikot

    Bahlut
    Faisal Tehrani
    Al-Ameen Serve Holdings
    2010
    400

    Apabila membaca novel kepunyaan rakan saya ini, saya terkenang zaman mengenali Faisal Tehrani di sekolah dahulu. Ya, saling meminjam koleksi buku-buku beliau menerusi seorang rakan. Kalau ada karya beliau yang menghubungkan sarwa pandangnya yang terkini dengan tulisan-tulisan masa lalu, saya kira novel Bahlut ini ialah jambatannya.

    Apa yang menarik, dan masih lagi menarik pembaca kepada Faisal Tehrani? Pada saya, mungkin pada gaya kepengarangannya. Susunan kata-katanya bukan semata-mata untuk menghibur, tetapi untuk mendidik pembaca dengan pelbagai isu dan mengambil pendirian. Oleh itu, tulisannya sering menyinggung daerah kontroversi. Liberalisme, feminisme dan Syiah, hak asasi manusia, Bahlut juga tidak ketinggalan dengan isu alam sekitar dan Orang Asal.

    Dalam bahagian pendahuluan, Faisal Tehrani menulis mengenai bagaimana kisah Orang Asal dan kehidupan atlet olahraga diadun bersama. Yang pertama bermula kisah-kisah keluarga beliau sendiri yang diceritakan oleh moyang beliau.

    (more…)
  • Cerita Cinta Ahmad Ammar, Yang Baik-Baik Antara Kita

    Cerita Cinta Ahmad Ammar

    Cukuplah kematian sebagai sebaik-baik peringatan.

    Pada saya, setiap kematian itu ada peringatan dan pengajaran yang boleh diambil. Allah memilih hamba-hamba-Nya tertentu yang menyentuh qalbu kita, antaranya ialah saudara Ahmad Ammar. Dalam komuniti pelajar di United Kingdom pula, masih ada yang mengingati allahyarham Dr. Mas Afzal. Cukuplah kita mengambil semangat daripada insan-insan ini untuk terus beramal, seperti Allah nukilkan dalam penghujung surah Al-Kahfi:

    Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”.

    Yang Baik-Baik Antara Kita

    Insan-insan sebegini kadang kala selalu sahaja muncul dalam kehidupan kita. Namun belum tentu kita benar-benar menghargai insan-insan seperti mereka ini. Hanya sesudah kehilangan barulah ditangisi. Memetik kalam Ustaz Hasrizal dalam buku ini, kesedihan kita sebagai ‘orang luar’ bukan semata-mata pada kenangan, tetapi harapan yang diusahakan insan tersebut yang tidak mampu kita sendiri tunaikan.

    Mungkin dia seorang ilmuwan.

    Mungkin dia seorang pemuda.

    Mungkin dia orang biasa-biasa sahaja.

    Allah telah menyempurnakan amal kebajikan Ahmad Ammar dan juga rakan-rakan yang telah mendahului saya. Dalam pada masa yang sama, kita belajar insan-insan yang membentuk Ahmad Ammar itu sendiri khususnya bonda dan ayahanda beliau. Memilih untuk hidup di jalan dakwah, terserlah cerita-cerita kesederhanaan keluarga ini.

    Menerusi catatan-catatan teman lingkungan ABIM, dapat dilihat wawasan yang cuba Hj. Ahmad Azam terapkan pada para pemuda, dimulai dengan anakanda beliau sendiri.

    Buku: Usaha Baik, Perlu Dibaiki Lagi

    Himpunan catatan mengenai Ahmad Ammar ini satu usaha sama antara Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) yang dirintis oleh ayahanda Ammar sendiri, Hj. Ahmad Azam, bersama dengan Karangkraf. Berdasarkan carian di Internet, dikhabarkan hasil royalti daripada buku ini kelak akan diinfaqkan.

    Saya lebih gemar andai buku ini ada bahagian pendahuluan atau biodata ringkas untuk pembaca mengenali peribadi Ahmad Ammar. Banyak perincian ini alhamdulillah telah ditampung dengan tulisan ibunda Ahmad Ammar sendiri dalam catatan pertama buku ini, diikuti oleh tulisan Hj Ahmad Azam.

    Walau bagaimanapun, ada beberapa episod kenangan bersama Ahmad Ammar terasa semacam pengulangan terutamanya catatan oleh teman-teman beliau. Ada beberapa kenangan ini saya kira eloklah disimpan secara peribadi, bukan dicatat dalam bentuk buku sebegini.

    Kempen #letsfollowammar eloklah kita terjemah sebagai tindakan, bersungguh menuntut ilmu, membaiki adab dan beramal dengan ilmu yang diperoleh. Beliau pergi ketika mahu memulakan pengajaran Risalah an-Nur. Yang masih hidup mestilah meneruskan perjuangannya sehinggalah tiba ketentuan Allah.