Category: Politik Islam

  • Seminar Tan Sri Asri Muda: Menjernihkan Pelbagai Sisi

    Memoir politik Asri: meniti arus Book Cover Memoir politik Asri: meniti arus
    Mohamed Asri bin Haji Muda
    Penerbit UKM
    1993
    136

    Membicarakan seseorang tokoh adalah sesuatu yang sukar, terutamanya tokoh berkenaan masih lagi hidup. Rupanya membicarakan allahyarham Tan Sri Asri Muda juga ada kesukaran tersendiri, untuk mengesahkan atau menidakkan persepsi pelbagai pihak terhadap allahyarham.

    Sabtu lalu (31/1/2015) Akademi Politik Budiman menganjurkan seminar bukan sekadar untuk mengenangnya, tetapi untuk mendalami strategi-strategi politik, penulisan mahupun peribadi beliau. Tiga pembentang pada seminar berkenaan ialah Dr. Kamarul Zaman Yusoff, Puan Ratna Inzah Mohd Asri (salah seorang anaknya) dan Dr. Mustafa Ahmad.

    Sekurang-kurangnya kita mendapat manfaat daripada kaca mata akademik, anak negeri (Dr. Kamarul dan Dr. Mustafa asal Kelantan) dan keluarganya sendiri.

    Penulis, sebelum ahli politik

    Walaupun tidak pernah hidup pada zamannya, saya berkesempatan membaca memoirnya Memoir Politik Asri: Meniti Arus terbitan Penerbit UKM. Buku yang beliau tulis sewaktu menjadi karyawan tamu di UKM, dan dalam prakata (tidak ingat siapa yang menulis setepatnya) ada diceritakan penglibatan beliau dalam kegiatan bahasa dan penulisan sebelum aktif dalam bidang siasah.

    (more…)
  • Merumus Negara Nan Mustahil

    The Impossible State: Islam, Politics, and Modernity's Moral Predicament Book Cover The Impossible State: Islam, Politics, and Modernity's Moral Predicament
    Wael B. Hallaq
    Columbia University Press
    2012

    Versi awal resensi ini ditulis dalam platform Goodreads, dan berhasil sebagai ulasan kedua terbaik dalam Sayembara Ulasan Goodreads Malaysia Tahun 2014

    “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik”, kalam Badiuzzaman Said Nursi pasti membingungkan kita. Apakah beliau sudah muak dan letih dengan suasana politik zaman akhir Uthmaniyah?

    Tersirat ialah satu bayangan mengenai perubahan drastik kerangka kerajaan dan pentadbiran Islam, kepada faham negara bangsa, produk budaya dan sejarah tamadun Barat. Ini yang cuba diusulkan oleh Prof. Wael bin Hallaq dalam Impossible State, menganalisis ke jantung hati projek moderniti ini di samping perbandingan dengan Islamic governance – sengaja tidak memilih perkataan state yang sarat nilai.

    Pada pandangan saya Impossible State lebih cenderung kepada falsafah politik, dengan huraian bersesuaian yang diambil daripada sejarah dan pelbagai tokoh-tokoh pemikiran seperti mana pendekatan yang turut digunakan oleh Prof. Noah Feldman.

    Beliau menegaskan tulisannya bukan bertujuan untuk menghidupkan semula institusi-institusi politik seperti zaman lampau, tetapi satu cubaan menghidupkan semula masyarakat bermoral.

    Beliau menghuraikan secara rinci asas-asas faham negara bangsa, antaranya konsep sovereign  yang menurut pengarang bertepatan dengan konsep mulk, berbanding terjemahan Melayu sebagai kedaulatan. Hal ini mengingatkan saya kepada tulisan Mawdudi yang menegaskan bahawa sovereignity sebuah negara dan masyarakat Islam terletak pada Allah. Selain itu, pengarang menghuraikan dengan lebih lanjut faham-faham berkaitan pembentukan sebuah Islam governance seperti nasionalisme dan implikasinya terhadap Muslim, misalnya dalam soal jihad.

    Bagaimana kita mahu memahami tajuk Impossible State ini? Adakah ia bermaksud negara Islam tidak mampu tertegak pada zaman ini? Elok kita tekuni satu persatu hingga ke nota hujungnya. Kelebihannya, pengarangnya memahami inti kepada negara bangsa dan juga pemerintahan Islam, seperti seruannya di bahagian penutup agar dialog antara peradaban dibina dan masyarakat bermoral diupayakan.

  • Mengapa Ali Shariati?

    What Is To Be Done (The Enlightened Thinkers and an Islamic Renaissance) Book Cover What Is To Be Done (The Enlightened Thinkers and an Islamic Renaissance)
    Ali Shariati
    Institute for Research and Islamic Studies
    1983
    180

    Menyebut hal aktivisme, kita tidak akan lari dari memperkatakan sosok Dr. Ali Shariati. Lebih tepat, ramai yang merujuk kajiannya mengenai peranan intelektual dalam masyarakat seperti mana kajian oleh Edward Said dan allahyarham Dr. Syed Hussein Alatas. Ada juga tokoh-tokoh Barat yang turut membahaskan mauduk yang sama seperti Antonio Gramsci yang terkenal dengan nota-nota dari penjaranya.

    Kajian ini penting dalam konteks masyarakat yang pernah dijajah, kerana banyak perkembangan dunia akademik masa kini terikut-ikut dengan standard Barat. Apa pula yang istimewa mengenai idea-idea Ali Shariati? Sekali imbas, idea yang beliau bawa banyak dipengaruhi oleh latihan pendidikannya dalam bidang sosiologi dan juga keluarganya.

    Ayah beliau, Muhammad Taghi Shariati ialah seorang mullah sebelum menjadi guru sekolah. Tulisan-tulisan beliau tidak lari daripada pengaruh Syiah seperti pemerihalan sahabat-sahabat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam tertentu, seperti Saidina Ali, Ammar bin Yasir dan Abu Zar.

    (more…)