Sasterawanara Keraton: Kembara Menganyam Kata

Sasterawanara Keraton
Hazwan Ariff Hakimi
Karyawan Publishing House
2012
57

Diterbitkan dalam Utusan Malaysia bertarikh 13 Oktober 2013

Kembara ialah pergerakan dan penjelajahan, baik yang berlaku secara jasmani – bergerak dari satu tempat ke tempat lain – mahupun secara maknawi membabitkan anjakan kefahaman intelek dan peningkatan makam kerohanian. Semacam trend masa kini, pelbagai pihak ghairah menghasilkan travelog hasil daripada kembara yang dilalui. Sebaliknya, saudara Hazwan Ariff Hakimi memilih untuk merakam kembaranya dalam dunia penulisan puisi menerusi kumpulan puisi 33 Puisi Kembara: Sasterawanara Keraton.

Susunan puisi mengikut tahun puisi-puisi ini ditulis dari tahun 2003 hingga 2011, menyerlahkan unsur kembara seorang penulis muda. Sebagai arkitek yang baru sahaja menyelesaikan pengajiannya di Nottingham, sebahagian besar puisi-puisi yang dimuatkan dalam kumpulan ini lahir di tanah Inggeris kecuali puisi-puisi awal dan beberapa puisi lewat kembaranya ke beberapa tempat seperti Paris, Istanbul dan Ljubljana. Kumpulan puisi ini mengandungi rakaman pandangan penulis seputar pelbagai isu-isu kemanusiaan, siasah, sastera dan puisi-puisi yang berunsur Islam.

Antara puisi awalnya yang penting untuk dikupas ialah puisi Mengonar Sahifah, pertama kerana puisi ini memenangi beberapa peraduan menunjukkan kualiti puisi ini telah diuji, dan juga menonjolkan percubaan bermain bahasa dengan pelbagai kosa kata sains di samping diksi tradisional seperti piras hangit, celici, jaharu dan lain-lain. Puisi ini berlatarbelakangkan peristiwa pengguguran bom atom di Hiroshima dan Nagasaki, lebih banyak berfungsi sebagai perakam peristiwa dengan pelbagai rujukan yang rinci kepada tokoh (Robert Oppenheimer), asal muasal projek bom atom ini (Los Alamos) serta nilai kekuatan bom tersebut (bandingan dengan letupan TNT). Walau bagaimanapun, tidak ditegaskan idea atau ingatan bahawa teknologi perlu dimanfaatkan untuk peradaban bukan menghancurkan kemanusiaan, melainkan rasa penyesalan yang dinyatakan pada rangkap-rangkap akhir puisi:

di suatu sudut akal ini

kudalami hakikat sengsara

celih dan celici manusia

mengimbau diriku mencela mereka

yang mengonar sahifah ini.       (SK : III)

Beberapa puisi dalam kumpulan ini memenangi peraduan puisi, seperti Peraduan Puisi Sains Karyanet – DBP dan Sayembara Puisi Berunsur Islam Grup Karyawan Luar Negara (GKLN). Puisi Limar Cinta, Darma Seni II dan Terasing mendapat tempat pertama dalam Sayembara Puisi Berunsur Islam GKLN 2010, namun dalam ulasan panel hakim (Antologi Puisi Juzuk, 2010) tidak dinyatakan manakah puisi yang terbaik serta kriteria yang melayakkan ketiga-tiga puisi ini memenangi hadiah utama. Mengambil puisi Limar Cinta yang disusun sebagai puisi pertama berbanding dua puisi yang lain, penulis memilih limar – sejenis kain sutera dalam bahasa Jawa – sebagai kiasan, ditenun dari benang pancawarna melambangkan unsur kasih, hidayah, itsar, makrifat dan syahid. Sutera yang ditenun daripada unsur-unsur baik ini mencerminkan pembentukan insan yang baik dan beradab. Penulis menyedari hakikat bahawa amal kebajikan bukan semata-mata untuk mendapatkan manfaat duniawi, bahkan untuk tujuan akhir mendapat keredaan Allah yang dirakam dalam kesimpulan puisi ini:

(dengan limar cintaku ini kumelamar-Mu

agar aku lena dalam tidurku di sana …) (SK:XIX)

Seperti disebut sebelum ini, saudara Hazwan banyak bermain bahasa seperti menerapkan diksi tradisional dan mencuba beberapa bentuk baru, misalnya memakai tanda kurung dan dialog dalam beberapa buah puisinya. Satu lagi bentuk baru yang lebih signifikan ialah mengarang puisi berbentuk naratif dengan susunan lebih panjang dari bentuk-bentuk puisi konvensional. Puisi Tabuh Hutan Edan dan Sasterawanara Keraton memakai bentuk naratif ini, memberi ruang yang lebih luas untuk diisi dengan idea dan wacana dikawal pemilihan kata yang bermakna.

Apakah keistimewaan Sasterawanara Keraton hingga penulis memilih judul ini sebagai mauduk kumpulan puisi pertama beliau? Untuk memahami perkara ini, satu pembacaan teliti perlu dibuat baik terhadap tajuk mahupun isi puisi tersebut. Paksi naratif puisi ini ialah golongan elit yang bergelar sasterawan yang akhirnya terpisah dari masyarakat dan tidak menyumbang apa-apa yang bermakna untuk peradaban. Hal ini boleh difahami menerusi rangkaian makna daripada kata kunci “sastera”, “sasterawan”, “rawan”, “wanara”, “nara” dan “keraton” yang digunakan dalam tajuk puisi ini.

Satu watak dicipta sebagai pemerhati terhadap segala aksi dan sikap buruk golongan sasterawanara keraton ini, seperti bermewah-mewahan, kera sumbang dan sombong. Watak pemerhati tadi sebenarnya salah seorang daripada golongan ini dan berkesudahan terpilih sebagai raja puisi yang disumpah mandul selama-lamanya. Tersirat ialah kritikan terhadap dunia sastera tanah air di mana penulis sendiri turut berkarya dan terlibat di dalamnya.

Dari segi pemilihan kata, puisi ini menggunakan diksi arkaik dan pinjaman dari bahasa Indonesia dan Sanskrit seperti darmawisata, sapta, sepeku, keraton dan jingkrak. Pemilihan diksi sebegini lebih bertujuan untuk menjaga padanan rima dalam puisi seperti contoh:

[…] Juga kaulihat para sasterawanara yang berdarmawisata dikurniai baginda raja salah satu daripada sapta kurnia sasterawanara keraton berserta pingat kebesaran keraton yang menjadi kedahagaaan para sasterawanara, sebagai lambang penghargaan baginda raja atas sumbangan mereka […]  (SK:XXXIII)

Kumpulan puisi Sasterawanara Keraton ini menyerlahkan kembara seorang pemuisi muda dengan keberanian bermain bahasa dan mencuba pelbagai bentuk puisi. Kebanyakan puisinya membawa perutusan berunsur Islam, namun perlu ditegaskan perutusan ilmu dan wacana berbanding permainan bahasa yang sekadar membangkit emosi. Sesungguhnya, kumpulan puisi ini menjadi titik mula bagi beliau meredahi dunia persuratan dan sastera Melayu bagi menghasilkan lebih banyak karya yang indah dan bermakna.

Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.