Tag: kumpulan cerpen

  • Cerita-Cerita Tiga Kali Seminggu

    Tiga Kali Seminggu
    Faisal Tehrani
    Al-Ameen Serve
    2010
    196

    Apa yang anda lakukan sebanyak 3 kali setiap minggu? Bersukan atau…Faisal Tehrani sekali lagi mengusik pembacanya dengan kumpulan cerpen Tiga Kali Seminggu.

    15 Cerita Mencabar Minda

    Meletakkan 14 cerpen beliau yang mutakhir di samping satu novelet, Kegawatan, kita disajikan kerencaman nada penulisan beliau. Hal ini turut disentuh dalam kata pengantar yang beliau karang, ada yang disajikan dengan ‘inti lebih’ ada juga yang lebih ‘tepung salut yang nipis’.

    Menurut beliau yang [ketika karya tersebut ditulis] memegang mazhab Gagasan Persuratan Baru(GPB), beliau ingin menunjukkan secara praktis bahawa karya berlandaskan GPB tidak membosankan dan meminggirkan langsung aspek cerita, cuma lebih mengutamakan ‘ilmu’ untuk dikongsi bersama pembaca.

    Secara peribadi, saya tidak berkenan dengan kewujudan novelet Kegawatan walaupun ia memberi gambaran kepada kita mengenai zaman awal penulisan beliau. Selain tidak selari dengan pendekatan GPB itu sendiri, ia mengandungi unsur-unsur yang tidak sesuai untuk bacaan umum. Iyalah, manakan kita tahu Faisal Tehrani punya peminat cilik seperti Ain Maisarah dan masih di bangku sekolah.

    Walaupun cerpen Tiga Kali Seminggu berhasrat untuk mengangkat cinta dalam karya sastera lebih daripada klise cinta kopiah-tudung labuh, saya lebih menggemari Cinta Medeni yang bersulam persoalan kesufian. Walau bagaimanapun, saya juga menggemari tulisan ringan dalam cerpen Muthupalaniappan yang bersalut sindiran pedas lagi menusuk.

    Hanya kiamat yang akan memusnahkan bahasa paling romantis dalam dunia ini.

    Sekiranya pembaca masih tercari-cari cerpen cinta Faisal Tehrani, anda tidak perlu pergi jauh dan tataplah cerpen Rindu Ini Luar Biasa, cerpen pertama dalam kumpulan ini. Hayatilah kisah cinta Zaharah dan Tengku Hakiman yang tidak kesampaian, lantas Zaharah memilih untuk ‘berkahwin’ dengan dunia akademik dan mendaulatkan bahasa Melayu. Cerpen ini mengulang persoalan yang sama dalam cerpen Muthupalaniappan iaitu isu PPSMI yang semakin suam-suam kuku pada masa ini.

    Tidak lupa juga kepada peminat aliran oksidentalisme beliau, cerpen Setelah Diciptakan Adam wajib menjadi telaah anda. Menyelusuri ego seorang wanita Yahudi, mengenali siapa Philomela, kita akan pulang kembali ke tanah nusa untuk bermesra dengan Islam and Secularism, magnum opus Prof. Dr. Syed Naquib Al-Attas. Cerpen ini cuba merakamkan pertembungan faham Islam dan Barat berhubung isu gender di zaman rancu fitrah disebabkan kejahilan kita mengenai konsep ilmu, yang melahirkan pemimpin dan masyarakat yang jahil dan biadap.

  • Gamitan Rindu Seorang Rafik

    Rindu Seorang Rafik
    Nisah Haron
    Al-Ameen Serve Holdings

    Pada mulanya, saya hendak menahan diri daripada membeli kumpulan cerpen Nisah Haron ini, beserta buku Bagaimana Saya Menulis hasil usaha beliau dan Dr. Mawar Shafie menghimpunkan cerpen-cerpen penulis muda bersama proses berkreatif mereka. Barangkali saya kurang sabar menanti Pesta Buku tidak lama lagi, saya menempah 2 buku ini menerusi Ujana Ilmu.

    Ada yang aneh mengenai 16 cerpen dalam Rindu Seorang Rafik ini. Pertama, ia ‘tewas’ dari segi ketebalan jika dibandingkan dengan kumpulan cerpen Tiga Kali Seminggu. Hal ini disebabkan Faisal Tehrani memuatkan novelet Kegawatan sepanjang 58 muka surat.

    Kedua, usai membaca beberapa kumpulan cerpen Nisah Haron seperti Impian Tsu-Ryi, saya dapati cerpen seperti Impian Tsu-Ryi juga terkandung dalam kumpulan cerpen ini. Secara peribadi saya menganggap pilihan ini untuk menonjolkan kekuatan beliau sebagai penulis dengan latar belakang perundangan.

    Nisah Haron begitu bijak menyusun cerita dan menyisipkan fakta dan ilmu bantu, khususnya mengenai dunia perundangan dan adat Perpatih amalan masyarakat di Negeri Sembilan.

    Selain Impian Tsu-Ryi, cerpen-cerpen beliau yang berkisar adat Perpatih sering menggondol anugerah sastera tanah air. Antaranya Pusaka Cendana yang memperkenalkan pembaca kepada bongai, satu seni persembahan yang semakin hilang ditelan zaman.

    Konflik timbul apabila si peniup seruling mahu mewariskan bongai kepada cucunya yang ditentang waris lain. Adakah bongai sekadar satu kesenian abstrak yang tidak boleh diwasiatkan menurut Islam atau ia lebih daripada konflik perebutan harta pusaka? Semuanya akan dijawab oleh peguam Cendana Mulyahati.

    (more…)
  • Memaknakan Cinta

    Memaknakan Cinta
    Salina Ibrahim
    Al-Ameen Serve Holdings
    2010

    Salina Ibrahim mungkin lebih dikenali sebagai novelis antaranya menerusi Mahligai dan Bukan Yang Pertama, namun kumpulan cerpen Memaknakan Cinta berjaya menghimpunkan cerpen-cerpen eceran beliau dari tahun 1998 hingga 2005.

    Selama 7 hari 7 malam kami kedinginan dek bayu Port Dickson dan pendingin hawa bilik bengkel serta basah ‘dibasuh’ proses kreatif dan teknik-teknik berkarya secara kreatif, sempat juga beliau mempromosikan kumpulan cerpen yang ketika itu masih hangat dari kilang percetakan. Saya tanpa segan silu (walaupun dilabel sebagai pemalu olehnya) berjaya mendapatkan senaskhah beserta tandatangan dan pesanan ikhlas dari beliau.

    Berbanding imej seorang anak comel yang menghiasi kulit buku ini, saya lebih terusik dengan tagline “20 Cerita Bermakna Pada Jiwa” ditambah cuplikan dari cerpen Memaknakan Cinta yang bisa menimbulkan ingin tahu.

    Kak Salina sempat berkongsi proses kreatif penghasilan beberapa cerpen yang turut terkandung dalam buku ini, antaranya cerpen Imam dan Memaknakan Cinta. Secara keseluruhannya, koleksi cerpen ini memaparkan kekuatan imej beliau sebagai seorang penulis yang feminis melalui kisah-kisah berpaksikan watak-watak wanita.

    Cerpen Memaknakan Cinta ditulis usai beliau mengikuti seminar pencegahan jenayah, yang turut membincangkan masalah sumbang mahram yang berlaku dan kaedah penyiasatan yang digunakan pihak polis untuk mendapatkan keterangan daripada mangsa kanak-kanak.

    Di samping cerpen Memaknakan Cinta, terdapat pelbagai cerpen yang berpaksikan tema kekeluargaan seperti Sebuah Dendam, Cerai? dan Gelombang. Sesekali beliau menyajikan cerita ringan seperti Mamaku Menteri dan Terbang Ke Langit, namun masih tebal dengan perasaan dan unsur didaktik. Secara peribadi, saya menggemari cerpen Tiang Seri yang memberikan penamat yang tidak disangka oleh pembaca.

    Cerpen Imam menonjolkan kekuatan latar belakang beliau dalam bidang Syariah dan keseniannya ‘menjentik’ menerusi penulisan kreatif. Mengambil pengajaran daripada peristiwa Imam Jumaat Aminah Wadud ditambah dengan kehangatan perselisihan antara dua kelompok agamawan, cerpen ini secara tidak langsung menekankan bahawa Islam didasari ilmu yang benar lagi sederhana.

    Cubaaan sesetengah pihak untuk meletakkan label yang muluk-muluk pada agama ini bahkan lebih menjurus kepada perpecahan. Kontroversi yang dicetuskan oleh watak Che As umpama ‘rahmat tersembunyi’ bagi penduduk pekan sudah berpecah belah.