Memaknakan Cinta

Muhammad Fakhruddin
Latest posts by Muhammad Fakhruddin (see all)

Salina Ibrahim mungkin lebih dikenali sebagai novelis antaranya menerusi Mahligai dan Bukan Yang Pertama, namun kumpulan cerpen Memaknakan Cinta berjaya menghimpunkan cerpen-cerpen eceran beliau dari tahun 1998 hingga 2005.

Selama 7 hari 7 malam kami kedinginan dek bayu Port Dickson dan pendingin hawa bilik bengkel serta basah ‘dibasuh’ proses kreatif dan teknik-teknik berkarya secara kreatif, sempat juga beliau mempromosikan kumpulan cerpen yang ketika itu masih hangat dari kilang percetakan. Saya tanpa segan silu (walaupun dilabel sebagai pemalu olehnya) berjaya mendapatkan senaskhah beserta tandatangan dan pesanan ikhlas dari beliau.

Berbanding imej seorang anak comel yang menghiasi kulit buku ini, saya lebih terusik dengan tagline “20 Cerita Bermakna Pada Jiwa” ditambah cuplikan dari cerpen Memaknakan Cinta yang bisa menimbulkan ingin tahu.

Kak Salina sempat berkongsi proses kreatif penghasilan beberapa cerpen yang turut terkandung dalam buku ini, antaranya cerpen Imam dan Memaknakan Cinta. Secara keseluruhannya, koleksi cerpen ini memaparkan kekuatan imej beliau sebagai seorang penulis yang feminis melalui kisah-kisah berpaksikan watak-watak wanita.

Cerpen Memaknakan Cinta ditulis usai beliau mengikuti seminar pencegahan jenayah, yang turut membincangkan masalah sumbang mahram yang berlaku dan kaedah penyiasatan yang digunakan pihak polis untuk mendapatkan keterangan daripada mangsa kanak-kanak.

Di samping cerpen Memaknakan Cinta, terdapat pelbagai cerpen yang berpaksikan tema kekeluargaan seperti Sebuah Dendam, Cerai? dan Gelombang. Sesekali beliau menyajikan cerita ringan seperti Mamaku Menteri dan Terbang Ke Langit, namun masih tebal dengan perasaan dan unsur didaktik. Secara peribadi, saya menggemari cerpen Tiang Seri yang memberikan penamat yang tidak disangka oleh pembaca.

Cerpen Imam menonjolkan kekuatan latar belakang beliau dalam bidang Syariah dan keseniannya ‘menjentik’ menerusi penulisan kreatif. Mengambil pengajaran daripada peristiwa Imam Jumaat Aminah Wadud ditambah dengan kehangatan perselisihan antara dua kelompok agamawan, cerpen ini secara tidak langsung menekankan bahawa Islam didasari ilmu yang benar lagi sederhana.

Cubaaan sesetengah pihak untuk meletakkan label yang muluk-muluk pada agama ini bahkan lebih menjurus kepada perpecahan. Kontroversi yang dicetuskan oleh watak Che As umpama ‘rahmat tersembunyi’ bagi penduduk pekan sudah berpecah belah.

Memaknakan Cinta
Salina Ibrahim
Al-Ameen Serve Holdings
2010

Posted

in

by

Comments

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.