Tag: Membakar Sastera

  • Percikan dari Membakar Sastera

    Membakar Sastera
    A. Muziru Idham
    Legasi Oakheart
    2022
    Paperback
    112

    When I sit down to write a book, I do not say to myself, ‘I am going to produce a work of art.’ I write it because there is some lie that I want to expose, some fact to which I want to draw attention, and my initial concern is to get a hearing. But I could not do the work of writing a book, or even a long magazine article, if it were not also an aesthetic experience

    George Orwell (Why I Write)

    Barangkali mengambil inspirasi daripada George Orwell juga, Membakar Sastera dimulakan dengan perihal pengarang dan kepengarangan. Sekiranya Orwell terus-terang cuba mengadun hal-hal estetika dengan isu-isu politikal, Muziru pula melontar persoalan kesunyian serta kejujuran karya-karya yang dicoret oleh para pengarang.

    Sejauh mana hasil karya seseorang dapat dipastikan menjadi cerminan diri dan kehendak nurani pengarangnya? Persoalan berat tetapi menarik ini cuba dirungkai dalam satu esei ringkas tanpa mendatangkan contoh atau perbandingan. Catatan Membakar Sastera itu menjadi mukadimah kepada persoalan dasar dalam esei-esei berikutnya yang menyentuh soal kayu ukur dan penilaian karya-karya sastera.

    Agak jelas soal penilaian dan kayu ukur sastera ini dituju kepada Gagasan Persuratan Baru (GPB) janaan Mohd. Affandi Hassan, dan tanpa berselindung menggelarnya sebagai ‘algojo yang cemerlang’. ‘Algojo’ dalam erti kata pengkritik yang istiqamah dalam dunia sastera/persuratan Malaysia dan rangka penilaian Anugerah Sastera Negara yang menobatkan Sasterawan Negara.

    Saya melihat bahawa persoalan kayu ukur ini perlu disorot dari pelbagai faktor, dan berkait dengan sejarah perkembangan ‘sastera’ itu sendiri. Ada yang mengetengahkan teori pengarang atau karya utama. Ada juga yang membuat sorotan berdasarkan tempoh perkembangan.

    Mungkin akan muncul pengkritik-pengkritik baharu yang mendorong terobosan baharu dalam dunia sastera kita.