Menalar Makna Diri: Kembara Menjejak Imam Birgivi Book Cover Menalar Makna Diri: Kembara Menjejak Imam Birgivi
Hasrizal Abdul Jamil
Karya Bestari KarangKraf
2014
Paperback
437

Sebelum menghadiri wacana buku ini Sabtu lalu (27 September 2014), saya menuliskan ‘rasa’ sesudah membaca buku Menalar Makna Diri: Kembara Menjejak Imam Birgivi.

Dalam derasnya arus kehidupan, kita perlu sentiasa bertanya pada diri sendiri walaupun keadaan begitu sulit untuk berbuat demikian. Bertanya untuk meluruskan arah, agar menuju kebenaran.

Sulit saya ingin merumuskan apa yang cuba disentuh oleh ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam travelog keempatnya ini. Ini bukan sekadar pemerhatian budaya seperti travelog Jordan dan Turki sebelum ini.

Terang ustaz sewaktu wacana, ada beberapa perkara berat yang cuba beliau sampaikan secara santai menerusi Menalar Makna Diri, antaranya sisipannya mengenai politik Turki masa kini, isu Wahabi dari konteks sejarah dan perjalanan untuk menjadi pengkaji sejarah.

Jelas kecenderungannya kepada bidang ilmiah yang ‘terpendam’ selama ini. Kecenderungan itu tidak beliau pendam begitu sahaja, tetapi diisi usaha menambahkan ilmu dengan mengikuti beberapa kursus pengajian walaupun berhalangan. Pesan beliau kepada kami:

Hargailah usia 20-an dengan memantapkan ilmu di dada sebelum berkhidmat tika 30-an menjelang. Banyak yang dapat kita selesaikan andai masyarakat sibuk dengan ilmu, bukan dengan isu.

Cerita Wacana Semalam
Wacana buku Menalar Makna Diri anjuran Jejak Tarbiah adalah kesinambungan wacana pemikiran HAMKA beberapa bulan lalu. Saya berkesempatan untuk hadir mendengar sisi lain yang tidak dicatat langsung di dalam buku ini.

Wacana ini disusun teratur, dipecah kepada tiga sesi:

• Apa Yang Dicari Pada Sejarah?
• Imam Birgivi dan Daulah Uthmaniyyah Abad ke-16
• Menalar Makna Diri: Mesej Travelog Birgivi

Dua sesi awal berlangsung dengan inti yang sarat fakta. Sesi pertama meletakkan fokus yang wajar sebelum kami meneroka maklumat sejarah yang rinci. Apabila Islam datang bersama tanzilnya Al-Quran, konsep ‘semalam’ mempunyai makna baru.

Sekiranya Arab Jahiliah menanggapi semua cerita-cerita kabilah mereka sebagai sumber kemegahan, Al-Quran meletakkan keperluan menilai maklumat (tabayun) dan menganalisis fakta dengan jujur dan benar, seperti yang ditunjukkan dalam surah Hujurat dan ayat terakhir surah Yusuf (12:111).

Justeru apa yang ditunjukkan konsep sejarah pada kaca mata Islam bukan sekadar satu disiplin akademik, tetapi nilai hidup sebuah masyarakat bertamadun yang berpegang kepada kebenaran.

Apakah signifikannya Imam Birgivi, sedangkan satu masa dahulu ustaz Hasrizal Abdul Jamil sangat meminati Sultan Abdul Hamid II? Mungkin kita boleh bermula daripada catatan Birgivi: Terfitnah oleh Umat yang Culas Merujuk.

Dalam satu pembentangan yang melibatkan persoalan malar segar ‘Salafi vs Sufi’, ustaz Hasrizal memetik pandangan Prof. Halil Inalchik mengenai gerakan Kadizadeli yang diasaskan oleh Mehmet Kadizade yang dikatakan berinspirasi daripada ajaran Imam Birgivi, yang telah meninggal dunia ketika itu.
Rupanya pandangan tersebut disebabkan pemilihan rujukan yang dibuat oleh Prof. Halil yang tidak memberikan wajah sebenar idea dan pandangan Imam Birgivi. Selain kaitan antara gerakan Kadizadeli dan Imam Birgivi ini, ada beberapa faktor lain yang menarik untuk mengkaji sosok ini:
• Beliau seorang pemerhati yang sensitif dan berada di ‘luar sistem’. Imam Birgivi mengamati perubahan sosial yang berlaku kepada masyarakatnya, sewaktu Daulah Uthmaniyah mengecap kegemilangan di bawah Sultan Sulaiman Al-Kanuni. Sasarannya ialah pemerintah, golongan awam dan juga ilmuan yang telah serba sedikit mengalami era kemerosotan kesarjanaan.
• Imam Birgivi seorang penulis prolifik yang menulis 35 buah buku dalam pelbagai bidang. Kesemua bukunya ditulis dalam bahasa Arab melainkan Vasiyyatname yang ditulis dalam bahasa Turki.
• Karya-karya beliau digunakan meluas dalam dunia Islam.

Seorang profesor memberitahu ustaz Hasrizal bahawa ada dokumen mencatatkan orang-orang Melayu datang ke Istanbul mempelajari karyanya Tariqah Muhammadiyah untuk dibawa pulang. Bahkan dikatakan kerangka Islam yang diamalkan Turki sekarang diinspirasikan daripada Imam Birgivi, apabila teks beliau digunakan untuk pembelajaran tentera Uthmaniyah pada abad ke-19.

Sekiranya kita melihat beberapa ciri ini, akan timbul rasa insaf memikirkan bahawa banyak lagi tokoh dan pemikiran yang belum kita gali sepenuhnya. Antara tokoh tempatan yang masih kurang dikaji seperti disebut oleh Dr. Syed Khairuddin Aljuneid ialah Tok Kenali. Di sinilah perlunya peminat pelbagai bidang, khususnya bidang sejarah, untuk menjadi murid seterusnya pengkaji sejarah.

Menalar Makna Diri di Persimpangan Peribadi
Satu yang konsisten disampaikan oleh ustaz Hasrizal dalam pelbagai buku dan tulisannya ialah persoalan nilai dan cara pandang kehidupan. Pulangnya ustaz Hasrizal ke meja tulis baca bermula dengan krisis diri, memikirkan sesuatu yang tidak kena dengan kehidupannya sekarang.
Satu waktu dahulu beliau memilih jalan motivasi, pada pandangan saya kerana mungkin di situ ada elemen pendidikan yang dekat dengan jiwanya. Namun bidang ini semakin lama dirasakan semacam candu masyarakat, makin banyak diambil namun keadaan masyarakat tidak banyak berubah.

Secara peribadi saya menghormati mereka yang mendalami bidang psikologi dan kaunseling secara serius.

Turki bukan semata-mata menghubungkan kembali ukhuwah atau pengubat rindu, Turki dikunjungi kembali atas dasar amanah ilmu. Apabila ustaz menceritakan tentang allahyarham Dr. Erbakan dan Erdogan, sering saja menimbulkan sebak pada ustaz.

Sebak kerana tiadanya negarawan begitu di tanah air.

Sebak mengenangkan sirnanya adab kita dalam berbeza.

Mungkin juga sebak, kerana kita tidak serius mengimarahkan budaya ilmu.

Hal baik-baik begini banyak kita temui di negara Barat dan Jepun walaupun pada dasar dan worldview mereka bukanlah Islam seperti dinukilkan oleh Prof. Wan Mohd Nor.

Untuk mewujudkan keadaan sebegitu, kita memerlukan dokongan atasan dan juga istiqamah dengan sikap tekun dan gigih menimba ilmu dan menyelidik. Inilah kesukaran bagi menghasilkan sejarawan dalam konteks tanah air, melainkan mereka yang berani melawan arus perdana.

Maka khatimah Menalar Makna Diri kita disajikan ibrah dari kepulangan seorang Ahmad Ammar. Ia tidak bermaksud mengidolakan batang tubuh sesiapa, tetapi mengingatkan pembaca pada harapan besar yang tidak kesampaian dalam kisah Ammar.
Sering sahaja ustaz Hasrizal menyebut tentang peri penting peminat sejarah yang ramai, mengambil sikap serius untuk menjadi murid dan pengkaji sejarah.

Kepulangan dari wacana itu sekurang-kurangnya menitip semangat pada saya, menalar pilihan-pilihan yang ada, sebelum terjun ke realiti alam kerja. Mohon doanya saya istiqamah dengan kebenaran.