Dilema Pembangunan dalam Sains untuk Manusia

SAINS UNTUK MANUSIA
Dzulkifli Abdul Razak
IIUM Press & Majalah Sains
2020
154

Dalam sejarah pembangunan negara, pelbagai idea dan wacana pembangunan telah dirancang dan diterapkan dengan matlamat untuk melonjakkan taraf kehidupan rakyat dan kesejahteraan negara. Sebagai contoh, strategi pembangunan luar bandar menerusi kegiatan pertanian komoditi masih relevan dengan potensi geografi dan demografi beberapa negeri di Malaysia.

Beberapa perancangan pembangunan jangka panjang telah dirangka bagi mencapai hasrat tersebut seperti Wawasan 2020 yang digagaskan oleh YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad. Wawasan tersebut meletakkan sembilan cabaran strategik yang perlu ditangani sebelum Malaysia mencapai negara yang maju, salah satunya adalah:

mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan.

Sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, secara ringkasnya STEM menjadi salah satu mangkin utama dalam pembangunan negara. Pelbagai dasar dan usaha digembleng bagi mencapai hasrat Cabaran Keenam Wawasan 2020 tersebut. Mengambil sudut pandang seorang pendidik dan pemimpin institusi pendidikan, Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Dzulkifli Abdul Razak mengupas perubahan wacana dan hala tuju STEM semasa dalam himpunan tulisannya yang diterbitkan sebagai Sains untuk Manusia, terbitan Bersama IIUM Press dan MajalahSains.Com.

Memilih IR4.0 atau Agenda Kemampanan?

Seiring dengan perubahan zaman, salah satu gagasan yang kerap menjadi tumpuan dan perhatian baik penggubal dasar mahupun pendidik adalah Revolusi Industri Keempat (IR4.0). IR4.0 merupakan tema utama yang menjadi perbahasan sewaktu persidangan World Economic Forum pada tahun 2016.

Dalam tempoh yang sama, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) pula melancarkan wacana pembangunan baharu dikenali sebagai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) atau Agenda 2030. Wacana baharu ini meletakkan 17 matlamat utama merangkumi agenda kesejahteraan sosial, pertumbuhan ekonomi dan perlindungan alam sekitar yang perlu dicapai oleh negara-negara anggota PBB, tidak terkecuali Malaysia menjelang tahun 2030.

IR4.0 merupakan revolusi industri yang lahir daripada kepesatan pembangunan teknologi digital yang menandakan era Revolusi Industri Ketiga. Walau bagaimanapun, teknologi tersebut telah berubah dengan begitu pantas dengan keupayaan perhubungan menerusi peranti bimbit, keupayaan pemprosesan mesin menerusi kecerdasan buatan serta pengkomputeran kuantum.

Keupayaan IR4.0 pada asasnya merupakan pemangkin untuk mencapai agenda kemampanan yang digariskan dalam SDG. Hal ini yang cuba ditekankan oleh Tan Sri Dzul pada bahagian awal Sains untuk Manusia, iaitu tiada pertembungan antara kedua-dua wacana dan agenda pembangunan tersebut.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa tumpuan dan publisiti awam lebih menjurus kepada IR4.0 ketimbang SDG. Tumpuan berlebihan ini secara tidak langsung memberi kesan dari sudut pengagihan sumber bagi hala tuju bidang pendidikan dan pelaksanakan program dan projek pembangunan masa kini.

Mengupas aspek ketersediaan bagi mencapai IR4.0, Tan Sri Dzul memberikan contoh keperluan bagi memastikan sambungan bekalan elektrik ke seluruh negara, yang merupakan elemen Revolusi Industri Kedua, adalah penting agar setiap rakyat dapat menggunakan dan menikmati hasil teknologi IR4.0. Begitu juga dalam aspek kesalinghubungan perkhidmatan Internet yang bakal ditambah baik menerusi inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang baharu sahaja diumumkan oleh pihak kerajaan.

Satu usaha yang patut mendapat perhatian adalah inisiatif kerajaan menerusi Unit Perancang Ekonomi untuk menjajarkan dasar pembangunan negara, bermula daripada Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) dengan 17 matlamat utama SDG.

Memaknakan Sains untuk Manusia

Salah satu cabaran dalam pelaksanaan SDG adalah untuk memastikan aspek kesejahteraan manusia dan kelestarian alam sekitar terpelihara dan seiring dengan pertumbuhan ekonomi semasa. Hal ini memaksa kita untuk merenung kembali batu asas dan falsafah yang mendasari pendidikan STEM masa kini. Sains moden yang kita ketahui bermula sebagai falsafah alam semula jadi (philosophy of nature) yang akhirnya mengkhususkan aspek empirikal mengenai alam.

Dengan perkembangan IR4.0 pula, pelbagai maklumat dari segala bidang termasuklah STEM boleh diperolehi di hujung jari berbanding kaedah dan gaya pembelajaran zaman dahulu. Perkara ini yang disebut sebagai era ledakan maklumat yang memungkinkan dilema berikut:

  • Kewibawaan seorang pakar yang mendapat pendidikan dan latihan khusus sesuatu bidang, misalnya perubatan mudah dicurigai oleh orang awam hanya berdasarkan maklumat-maklumat yang diperolehi daripada Internet;
  • Pihak yang tidak mendapat akses terhadap maklumat akan ketinggalan; serta
  • Kebergantungan manusia terhadap mesin, khususnya mesin pintar dan kecerdasan buatan masa kini.

Perkembangan semasa ini menuntut agar bidang STEM tidak dipelajari dan ditanggapi untuk memahami aspek kebendaan dan kegunaannya semata-mata. Bagi memaknakan Sains untuk Manusia, bidang STEM juga perlu diseimbangkan dengan sentuhan dan pendekatan Humanities, Arts, Craft and Design (HACD).

Boleh dirumuskan bahawa kumpulan tulisan Tan Sri Dzul ini menyumbangkan kepada perbahasan terkini dalam wacana sejarah dan falsafah sains di Malaysia. Satu wacana yang agak suram belakangan ini walaupun pelbagai perkembangan sedang muncul mendadak di hadapan kita.

Facebook Comments
Latest posts by Muhammad Fakhruddin (see all)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.