Merenung Seni Befikir yang Hilang #SBYH

Seni Berfikir Yang Hilang
Hasrizal Abdul Jamil
Philosophy
Iman Publication Sdn Bhd
20/01/2020
252

Mungkin telah sampai masa untuk kita berpatah balik selangkah ke belakang dalam melihat semua isu ini. Mengapakah ia mencetuskan pelbagai konflik? 

Sebagai ‘pengikut’ tulisan-tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil di blog mahupun karya-karyanya yang terdahulu, topik-topik yang disentuh dalam buku Seni Berfikir yang Hilang pada tahun 2020 bukanlah sesuatu yang terlalu asing buat saya secara peribadi.

Adakalanya seolah-olah mengimbau beberapa kuliah beliau yang sempat diikuti, terutamanya di Khalifah Model School Ampang.

Apa yang cuba disampaikan oleh penulis kepada pembaca adalah beberapa huraian beliau mengenai kitab kecil yang dikarang oleh Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi bertajuk Thaqafah Al-Da’iyah. Karya ini boleh dikatakan kurang menjadi perhatian dalam konteks masyarakat Malaysia. Namun begitu, masih terdapat penerbit yang telah menterjemahkan kitab ini ke bahasa Melayu dengan judul Tazkirah Para Pendakwah, yang pada hematnya kurang menjelaskan makna thaqafah dalam judul asalnya.

Agama merupakan salah satu inti kepada masyarakat kita, terutamanya bangsa Melayu. Persoalan-persoalan kehidupan baik dari sudut kebersihan, makan minum, jual beli, bahkan prosedur perubatan masa kini tidak pernah lari dari perbahasan agama yang kuat. Halal atau haram, patuh syariah atau tidak.

‘Seni Berfikir’ atau ‘Berfikir’ yang hilang?

Dari satu sudut pandangan, hal ini menunjukkan peningkatan kesedaran beragama dalam masyarakat. Alhamdulillah.

Namun dengan derasnya perbahasan isu-isu tersebut dalam medan maya, isu dan komentar tersebut hanya diabadikan sebagai salah satu jejak dalam arkib Internet. Tiada dorongan untuk mengubah cara fikir atau cara kerja kita sebagai orang yang mengaku kuat berpegang dengan agama. 

Bertitik tolak daripada fenomena ini, penulis merasakan perbahasan buku Thaqafah Al-Da’iyah wajar diketengahkan terutamanya dalam khalayak kariah masjid dan surau yang menjemput beliau.

Medan-Medan Thaqafah

Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi membahagikan thaqafah yang perlu dicermati oleh pendakwah kepada enam medan utama, iaitu:

  • Ilmu Agama
  • Ilmu Sejarah
  • Ilmu Sastera dan Bahasa
  • Ilmu Kemanusiaan
  • Ilmu Sains; serta
  • Ilmu Hal-Ehwal Semasa

Secara harfiah, thaqafah juga diterjemahkan dalam erti kata kebudayaan atau peradaban. Buku Seni Berfikir yang Hilang lebih cenderung mengambil thaqafah sebagai ilmu bagi memudahkan huraian kepada pembaca.

Pembahagian enam medan thaqafah ini bukan bermaksud ilmu tersebut perlu dikuasai secara terpisah-pisah. Sebaliknya, penguasaan juzuk ilmu dari satu medan perlu diseimbangi dengan perspektif ilmu-ilmu lain, khususnya berkaitan sejarah dan sains kemasyarakatan. Dilema pengkotakan ilmu (knowledge compartmentalization) pada masa kini juga turut disentuh oleh saintis, iaitu Prof. Dr. Dzulkifli Razak yang berhasrat agar bidang STEM dapat diseimbangkan dengan pendekatan Humanities, Arts, Craft and Design (HACD).

Sebagai contoh, seorang dengan latar pendidikan agama memerlukan perspektif berkaitan sains atau ekonomi dalam mengupas dan mengeluarkan fatwa berkaitan amalan perubatan semasa atau inovasi baharu bidang kewangan. Begitu juga bagi seseorang dari latar sains sosial mahupun sains tulen, memerlukan pengukuhan ilmu-ilmu agama agar perspektif dan amalan dalam bidang yang ditekuni tidak bercanggah dengan apa yang diimani. 

Buku asal Thaqafah Al-Da’iyah lebih berat berbicara mengenai penguasaan ilmu-ilmu agama. Ustaz Hasrizal pula lebih cenderung mengembangkan huraian berkaitan ilmu-ilmu sejarah dan sains sosial yang beliau dalami beberapa tahun yang lalu. Secara sederhana beliau tidaklah mengupas dengan lebih mendalam beberapa topik berkait ilmu bahasa, ilmu sains dan ilmu hal ehwal semasa. Dalam bab ilmu sains, Ustaz Hasrizal mengetengahkan kembali sinergi Syariatullah dan Sunnatullah yang berlangsung dalam kehidupan seharian kita.

Persoalan ‘sains dan agama’ secara akademiknya boleh ditinjau dari sudut perbahasan etika, atau lebih mendalam lagi menyentuh ilmu falsafah. Cabang kefahaman berkenaan takdir atau ketentuan Tuhan misalnya, dikupas dengan mendalam oleh ulama silam sehingga berdirinya ‘mazhab-mazhab aqidah’ seperti Asyairah, Maturidiyah dan Muktazilah turut menjadi titik perbahasan dalam etika moden yang sedikit sulit untuk membahaskannya secara massa.

Seni Berfikir yang Hilang boleh dikatakan recollection of thoughts Ustaz Hasrizal yang bermusafir panjang dalam bidang sejarah dan kini berkait sains pendidikan. Satu karya yang cermat menyusun pelbagai tema di bawah satu buku. Beliau menutup karya ini dengan perenggan:

Bermula dari sini, kurangkanlah menyalahkan takdir dan ujian Tuhan sebagai punca kegagalan dakwah kita. Halakan tudingan jari kepada diri kita sendiri yang barangkali kurang memahami realiti masyarakat, negara dan dunia lalu memilih cara berdakwah yang tidak saintifik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.