Fiqh Siasah: Risalah mengenai Syura

​Fiqh Siasah: Dari Perspektif Legitimasi dan Perlaksanaan Kekuasaan Politik
Dr. Muhammad Al-Mukhtar Al-Shinqiti
ILHAM Books
2019
73

Perbahasan tentang Islam dan politik, walaupun menarik dalam konteks semasa tetapi satu yang telah lama saya tinggalkan buat beberapa ketika. Salah satunya disebabkan banyak penulisan tema berkenaan masih berada pada teoritikal dengan merujuk kepada amalan sewaktu zaman keemasan Islam, yakni zaman Rasulullah S.A.W serta zaman pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidun.

Kebanyakan literatur Islam dan politik yang sempat saya tekuni menanggapi syura sebagai satu konsep yang hampir dengan konsep demokrasi yang diamalkan masa kini, sedangkan konsep demokrasi itu sendiri mempunyai sejarah dan perkembangannya yang tersendiri hingga membawa kepada pelbagai kaedah demokrasi yang diamalkan pada kebanyakan negara bangsa moden kini.

Demokrasi boleh difahami sebagai kaedah untuk mengabsahkan kekuasaan sesuatu kerajaan yang memerintah, pada masa yang sama turut difahami sebagai kaedah bagi melibatkan sekelompok besar masyarakat dalam pembentukan hala tuju dan dasar sesebuah negara menerusi perwakilan kuasa di parlimen. Melihat kepada nuansa konsep demokrasi itu sendiri, Dr. Muhammad al-Mukhtar al-Shinqiti membahaskan dengan lebih terperinci konsep syura, dengan mengkategorikannya kepada syura dan musyawarah.

Cita Pemimpin Sempurna

Pemimpin yang sempurna seperti digariskan oleh Al-Quran mempunyai keseimbangan antara sifat amanah dan quwwah. Dalam erti kata lain, pemimpin yang mempunyai sifat peribadi yang unggul dan berintegriti, pada masa yang sama cekap dan mahir dalam menguruskan tugasan dan organisasi. Namun begitu hanya segelintir sahaja yang berjaya mengimbangi dua sifat kepimpinan tersebut seperti mana tinjauan terhadap sirah para sahabat R.A oleh Dr. Mukhtar. Misalnya Abu Zarr al-Ghifari yang dikenali seorang yang warak dan jujur, namun Nabi S.A.W tidak melibatkan beliau dalam urusan kepimpinan menerusi hadis mengenai hal meminta jawatan.

Justeru menurut Dr. Mukhtar, prinsip syura dan prinsip musyawarah memberikan ruang praktikal bagi umat untuk memilih pemimpin yang mempunyai keseimbangan cita pemimpin sempurna tersebut. Tambah beliau, prinsip syura ini mengelakkan pemimpin bermasalah yang diangkat menerusi kaedah pewarisan atau kaedah majoriti.

Syura yang Wajib dan Mengikat

Pada pandangan Dr. Mukhtar, proses pemilihan pemimpin harus dijalankan berasaskan prinsip syura. Hal ini disebabkan terdapat hadis-hadis berkenaan pemilihan pemimpin yang menunjukkan bahawa Nabi S.A.W hanya menyarankan tokoh tertentu tanpa memaksa saranan baginda S.A.W untuk diterima oleh umat Islam ketika itu. Peranan dan hak umat dalam hal pemilihan pemimpin inilah yang menjadikan keputusan syura bersifat wajib dan mengikat bagi mengabsahkan kedudukan pemimpin dan kekuasaan yang terpilih.

Musyawarah dalam Strategi dan Pelaksanaan

Adapun dalam hal menentukan pelaksanaan dan strategi, Nabi S.A.W dan Khulafa’ al-Rasyidun banyak berpegang kepada prinsip musyawarah, yang mana perbincangan terbuka diadakan seperti dalam penentuan kedudukan tentera Islam dan strategi perang dalam perang Badar dan perang Uhud. Dalam hal ini, terdapat beberapa kaedah yang diamalkan oleh Nabi S.A.W sendiri seperti:

  • Musyawarah Umum melibatkan seluruh penduduk Madinah dalam hal menentukan kedudukan tentera Islam dalam perang Uhud, kerana melibatkan tanggungjawab semua penduduk bagi mempertahankan keselamatan Madinah pada ketika itu;
  • Musyawarah Khusus melibatkan golongan tertentu sahaja seperti kaum Ansar dalam penentuan kedudukan tentera Islam dalam perang Badar, disebabkan ikatan bay’ah kaum Ansar kepada Nabi S.A.W untuk melindungi baginda dalam lingkungan Madinah sahaja; atau
  • Gabungan Musyawarah Umum dan Khusus seperti dalam peristiwa al-Ifk, yang melibatkan urusan kekeluargaan baginda serta menghadapi fitnah yang disebarkan kepada orang awam.

Secara tuntas boleh dikatakan buku ini adalah pemula yang baik bagi menggariskan perbezaan antara prinsip syura dan prinsip musyawarah yang berpadanan dalam nuansa demokrasi masa kini. Walau bagaimanapun perbincangan buku ini masih bersifat usuli atau teoritikal dengan tidak menonjolkan secara jelas permasalahan lanjut pada pengamalan kedua-dua prinsip berkenaan, terutamanya dalam konteks zaman moden.

Misalnya, adakah kaedah pilihan raya masa kini boleh dikatakan sebagai qiyas kepada kaedah bay’ah yang dilaksanakan pada zaman terdahulu? Bagaimanakah kaedah pelaksanaan syura dan musyawarah terutamanya pada era pemerintahan sesudah Khulafa’ al-Rasyidun? Adakah terdapat perubahan ketara memandangkan era tersebut mengamalkan sistem pemerintahan bersifat dinasti? Mengapakah beliau lebih cenderung mengetengahkan pandangan Ibn Taimiyah berkenaan fiqh siasah ketimbang ulama lain dalam bidang yang sama?

Facebook Comments
Latest posts by Muhammad Fakhruddin (see all)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.