al-Shura: Perbahasan Demokrasi dan Islam

Urusan berkaitan politik (siyasah) dan pentadbiran digolongkan dalam perbahasan ilmu fiqh muamalat, melibatkan urusan dan perhubungan sesama manusia. Kefahaman mengenai kedudukan perbahasan ilmu ini penting bagi memahami dalil dan kaedah fiqh dalam perbahasan berkaitan politik, seterusnya menonjolkan sifat Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin.

Antara kaedah fiqh yang terpakai secara umum dalam perbahasan muamalat ialah ‘hukum asal bagi urusan muamalat ialah harus melainkan ada dalil mengharamkan’. Hal ini difahami para ulama’ apabila Allah dan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam telah menetapkan beberapa prinsip yang kekal – juga disebut sebagai thawabit – dalam urusan muamalat, namun kaedah pelaksanaan urusan tersebut boleh berubah mengikut masa, tempat dan keadaan.

Walau bagaimanapun, perubahan pelaksanaan hukum mestilah dirujuk dan dipantau oleh ulama’ yang berkelayakan bukanlah dirombak mengikut nafsu dan kepentingan tertentu semata-mata. Hadith Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menyebut:

Kamu lebih mengetahui urusan dunia kamu (riwayat Muslim)

Kefahaman para sahabat radhiyallahu ‘anhum daripada hadith ini membolehkan mereka mencipta atau mengadaptasi kaedah dan mekanisme dalam urusan politik dan pentadbiran, seperti mana yang banyak dilakukan oleh Saidina Umar Al-Khattab.

Inovasi yang dilakukan oleh para sahabat khususnya  Khulafa’ Ar-Rasyidin bertujuan untuk mengembangkan tahap kehidupan ummah ke arah lebih baik. Wujudnya prinsip asas atau thawabit dengan pelaksanaan yang anjal (mutaghaiyirat) menyerlahkan Islam yang bersifat menyeluruh dan sesuai diamalkan dalam pelbagai keadaan.

Barang diingat, inovasi dalam bidang politik terutamanya sewaktu pemerintahan Saidina Umar banyak dihasilkan menerusi model as-shura (perundingan) dengan wujudnya badan penasihat yang dianggotai para sahabat yang ‘alim.

Oleh itu, perubahan-perubahan yang dilakukan tidak dibuat secara wewenang bahkan ijtihad Saidina Umar dalam hal politik sering kali berbeza dan disemak imbang oleh para sahabat yang lain. Ciri as-shura ini, yang juga terdapat pada demokrasi harus dikembangkan untuk memberi manfaat dan menegakkan keadilan dalam masyarakat.

Wujudkah Majoriti Muslim Menolak Syariah?

Satu persoalan yang ditimbulkan apabila berbicara mengenai kedudukan demokrasi dalam Islam, ialah kemungkinan wujudnya majoriti Muslim – menerusi sistem demokrasi – memilih untuk menolak pelaksanaan undang-undang syariah. Dr. Ahmad Ar-Raysuni menyangkal andaian ini dalam tulisannya Al-Shura: The Quranic Principle of Consultation dengan menyebut:

The abolishment  of Islamic law that has taken place thus far in Islamic states has come about by dictatorial means, not by democratic ones. Some of others by our own rulers in response to foreign pressure. In all cases, however, these changes have been implemented by virtue of dictatorial fiat, not democracy.

Menghurai lanjut permasalahan ini, beliau menyatakan bahawa demokrasi sebenarnya membantu ulama’ mengubati masalah kefahaman ummah berkaitan hal ini. Menerusi saluran kebebasan yang diberi oleh demokrasi, ulama’ perlu mendidik masyarakat umum mengenai Islam secara am dan hal perundangan Islam secara khusus.

Pendidikan pemikiran siasah Islam yang diusahakan oleh gerakan Islam di seluruh dunia ialah salah satu kesan yang kita nikmati menerusi saluran demokrasi.

Dr. Ar-Raysuni menegaskan bahawa amalan demokrasi ini tidak terkecuali mengandungi beberapa kelemahan. Shura bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian urusan siyasah ummah, bahkan ia merupakan satu bahagian daripada kerangka ilmu dan perundangan Islam.

Untuk menegakkan keadilan menurut Islam bermakna keseluruhan bahagian dalam kerangka ini perlu berfungsi dengan baik, namun salah satu punca berleluasanya ketidakadilan ialah disebabkan ummah mula mengabaikan amalan shura dalam urusan pentadbiran.

Oleh itu, amalan demokrasi yang menepati model as-shura berhajat kepada (1) pengamalan akhlak dan etika yang tinggi, (2) suasana kebebasan berfikir dan ekspresi, serta (3) peranan ulama’ dan intelektual memandu ummah kepada keputusan yang tepat berdasarkan ilmu. Beliau menjelaskan bahawa perlunya wujud sistem dan organisasi terancang seperti parlimen dalam amalan demokrasi, bagi memastikan model shura ini dapat berfungsi pada masa kini.

Justeru kita mengambil ‘hikmah yang hilang’ terkandung dalam amalan demokrasi, di samping mendalami ilmu bagi berinteraksi dengan khazanah peradaban Islam dan Barat tanpa rasa skeptik mahupun apologetik.

Muhammad Fakhruddin

One response

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.