Noah Feldman: Negara Islam Yang Bagaimana?

The Fall and Rise of the Islamic State
Noah Feldman
History
Princeton University Press
2008
189

A critical study reveals the story behind the increasingly popular call for the establishment of the traditional Islamic state in the modern Muslim world and provides a sweeping history of the traditional Islamic constitution, examining the various provisions of the shari'a and arguing for the creation of new institutions that can restore a constitutional balance of power.

Saya menyambung dengan telaah tema Islam dan politik menerusi karya Prof. Noah Feldman, The Fall and Rise of the Islamic State yang saya kira molek dibaca oleh golongan aktivis dan penggerak gerakan Islam.

Beberapa buku dengan tema yang serupa pernah saya baca, iaitu Who Needs and Islamic State oleh Dr. Abdul Wahab Effendi serta Indahnya Politik Cara Islam karya Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman (UZAR). Sedikit komen mengenai buku tulisan UZAR yang lebih berorientasikan fiqh dan aplikasinya dalam konteks Malaysia berbanding dua buku terdahulu yang cenderung kepada perbahasan sejarah dan falsafah politik dalam Islam.

Tesis Prof. Noah Feldman ialah berdasarkan sejarah umat Islam, seruan menegakkan syariah sebenarnya seruan menegakkan kedaulatan undang-undang (rule of law). Hal ini berlaku apabila ulama’ yang bebas daripada pengaruh kerajaan pada waktu itu, bertindak sebagai penjaga, pentafsir undang-undang sekali gus pengimbang kuasa yang dipegang oleh kerajaan.

Perkara sedemikian tidak lagi berlaku di negara-negara Islam moden, apabila kuasa dipegang hampir mutlak oleh pihak pemerintah tanpa ada kuasa pengimbang tara yang berkesan seperti golongan ulama yang wujud pada satu ketika dahulu.

Kejatuhan Sebelum Kebangkitan

Dalam bahagian awal buku ini, beliau menyentuh bagaimana kerajaan-kerajaan awal Islam beroperasi dengan keseimbangan kuasa antara institusi pemerintah dan institusi undang-undang yang dikawal ulama’. Beliau memakai istilah ‘institusi’ walaupun secara realiti ulama’ Sunni tidak punya organisasi tersusun seperti ulama’ Syiah.

Namun peredaran zaman menuntut beberapa perubahan seperti penulisan undang-undang bertulis (perlembagaan) yang secara tidak langsung mengecilkan dan meminggirkan peranan ulama’ sebagai pengimbang tara kuasa pemerintah, antaranya pelaksanaan Tanzimat pada zaman akhir kerajaan Uthmaniyyah serta pembatalan Tanzimat oleh Sultan Abdul Hamid II tanpa dikembalikan semula struktur dan sistem perundangan sebelum Tanzimat.

Pada titik ini menurut Prof. Noah Feldman, hilanglah keseimbangan kuasa dalam kerajaan Islam yang turut menyumbang kepada kejatuhannya. Kehilangan ini, anehnya tidak disedari golongan ulama’ bahkan kemudiannya diperjuangkan semula oleh kelompok modernis yang dikenali sebagai Islamis.

Tambah menarik golongan Islamis ini secara umum tidak terlatih secara mendalam mengenai keilmuan Islam seperti mana golongan ulama’ terdahulu. Kebanyakan tokoh mereka seperti Syed Qutb, al-Mawdudi dan beberapa tokoh Islamis lain mempunyai latar pendidikan dalam bidang profesional berbanding didikan dalam tradisi keilmuan Islam.

Beliau mengulas bahawa seruan mengembalikan syariah oleh golongan Islamis ini sedikit sebanyak disumbang oleh rasa tidak puas hati terhadap regim pemerintah serta percubaan untuk menghidupkan memori bersama (collective memory) keteraturan hidup pada zaman kegemilangan umat Islam dahulu.

Walau bagaimanapun, saya tidak bersetuju dengan penulis yang cuba menyamakan pendekatan salafi yang banyak dipegang gerakan Islam dengan semangat Protestanisme. Hal ini disebabkan pendekatan salafi pada pemahaman cetek saya mempunyai kerangkanya tersendiri yang masih lagi berpegang kepada intepretasi dan ijtihad ulama’ bersumberkan dalil-dalil Al-Quran, al-Sunnah, ijma’ dan qiyas, tidak wewenang bebas daripada autoriti keilmuan Islam.

Satu lagi hal yang memerlukan kajian lanjut ialah pendapat Prof. Noah Feldman mengenai adanya pertembungan antara Islamis dan golongan ulama’. Menurutnya, ini disebabkan cita-cita Islamis tidak membawa kembali struktur yang pernah diguna pakai pada masa lampau, iaitu peranan ulama’ sebagai autoriti perundangan sekali gus pengimbang tara kuasa dengan pemerintah. Hal ini membawa kepada isu pendemokrasian syariah, yang mana syariah dijadikan perundangan menerusi badan legislatif, pada masa kini ahlinya terdiri daripada wakil-wakil yang dipilih rakyat menerusi pilihan raya.

Dalam buku ini, Prof. Noah Feldman menyentuh beberapa cabaran utama dalam mengembalikan syariah ke dalam perundangan negara:

  1. Syariah perlu dikuat kuasa sebagai satu bentuk perundangan. Hal ini juga akan menimbulkan beberapa masalah dan berhajatkan mekanisme baru seperti semakan perundangan oleh satu institusi, sebagaimana mekanisme Mahkamah Agung Amerika Syarikat.
  2. Peruntukan membabitkan kesalahan-kesalahan jenayah dalam perundangan Islam membabitkan hukuman berat (corporal punishment) yang teruk, namun disabitkan menerusi standard pembuktian yang tinggi. Sejauh manakah kefahaman Islamis mengenai mekanisme perundangan semasa agar pelaksanaan syariah ini dapat dilaksanakan dengan adil dan jaya?
  3. Mampukah syariah beroperasi tanpa wujudnya peranan aktif ulama’ yang pernah berlaku dahulu?

Merujuk kepada cabaran ketiga, beliau menekankan perlunya kewujudan satu institusi baru yang dapat memainkan peranan sebagaimana ulama’ terdahulu dalam menjaga kedaulatan undang-undang, khususnya dalam melaksanakan syariah. Hal ini berhajat kepada pendidikan pengamal undang-undang kini dan masa depan yang sudah tentu memerlukan iltizam politik dan birokrasi yang menyokong perkembangan ini.

Pembentukan institusi baru dalam sistem sedia ada pada zahirnya amat sukar. Satu kalamnya buat renungan kita bersama, mengenai kedudukan syariah dalam politik dan pentadbiran negara:

The shari’a has the capacity to function as a tool for the fair administration of justice. But like any other legal system, it cannot do so if it is not embedded in a constitutional order in which the dictates of the law are enforced by institutions with the incentive to act justly and the real-world powers to see that their rulings are executed in practice. The shari’a is no magic solution to the problem of the rule of law.

Facebook Comments
Latest posts by Muhammad Fakhruddin (see all)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.