- Iakah Malapetaka Iklim? – 21/01/2024
- Buku dan Debu Kehidupan Kota Kaherah – 06/09/2023
- Beberapa Ingatan daripada Penat – 24/01/2023
Gara-gara aktiviti Ganding Baca grup Goodreads Malaysia (GRMY) untuk bulan Julai 2013, saya terjebak membaca buku terbitan syarikat Buku Fixi yang dikenali menerusi genre pulp fiction. 17 cerpen dan lapan puisi disusun dalam kumpulan karya Yang Nakal-Nakal. Kebanyakan cerpen ini ditulis sekitar dekad 50-an dan 60-an (ada yang seawal tahun 1949) manakala puisi pula diambil sekitar tahun 70-an dan 80-an. Menurut Hafiz Hamzah, penyunting buku ini dalam prakatanya:
Tidak ada hal-hal patriotisme seperti yang sedia dimaklumi di sini. Perkara itu sangat cliche ketika membicarakan sosoknya. Tetapi, yang ada untuk ditemukan adalah satu sisi lain; nuansa sensual yang dikait ke dalam setiap pemerhatiannya.
Fokus kumpulan karya Sasterawan Negara (SN) Usman Awang ini lebih kepada cerpen berbanding puisi.
Dalam cerpen-cerpen yang dipilih sememangnya ada menepati apa yang dikatakan sebagai “nuansa sensual yang dikait ke dalam setiap pemerhatiannya”.
Sering kali SN Usman Awang memerihalkan kegiatan sehari-hari masyarakat, ada latar di restoran, dalam bas bahkan di pejabat kebajikan masyarakat! Apa yang lebih penting ialah pesanan yang cuba disampaikan dalam karya-karya ini, berbanding hal perwatakan dan latar.
SN Usman Awang mengkritik beberapa sikap masyarakat, kritikan sosial yang selalu ditemui dalam karya-karya penulis Angkatan 50 yang lain. Menurut penyunting, kritik sosial beliau tidak ubah seperti Pendeta Za’ba dan juga buya HAMKA cuma berlainan kaedah penulisan tokoh-tokoh terbabit.
Hal ini lebih ketara pada bahagian puisi khusunya puisi Beli Buatan Malaysia. Adakah ini sudah melanggar ikrar penyunting agar tidak meletakkan karya patriotik? Sesuatu yang menarik sebagai khatimah, ialah kritik SN Usman Awang kepada aktiviti yang dikatakan sebagai seni budaya. Mungkin juga dimaksudkan ialah kefahaman masyarakat mengenai seni dan budaya itu. Untuk renungan, di sini cuplikan dari puisi Lagu dan Tari:
Segala terbuka dan segala mendamba,
dan berahi mematuk-matuk pada diri, meminta.
Itulah lagu dengan tari pada malam panjang,
senantiasa berulang pada zaman gila perang;
sedang esok segala hati dan tulisan memuji,
Inilah ‘seni’, hasil gemilang ‘seniman’ sejati!
Leave a Reply