Apabila membaca novel kepunyaan rakan saya ini, saya terkenang zaman mengenali Faisal Tehrani di sekolah dahulu. Ya, saling meminjam koleksi buku-buku beliau menerusi seorang rakan. Kalau ada karya beliau yang menghubungkan sarwa pandangnya yang terkini dengan tulisan-tulisan masa lalu, saya kira novel Bahlut ini ialah jambatannya.
Apa yang menarik, dan masih lagi menarik pembaca kepada Faisal Tehrani? Pada saya, mungkin pada gaya kepengarangannya. Susunan kata-katanya bukan semata-mata untuk menghibur, tetapi untuk mendidik pembaca dengan pelbagai isu dan mengambil pendirian. Oleh itu, tulisannya sering menyinggung daerah kontroversi. Liberalisme, feminisme dan Syiah, hak asasi manusia, Bahlut juga tidak ketinggalan dengan isu alam sekitar dan Orang Asal.
Dalam bahagian pendahuluan, Faisal Tehrani menulis mengenai bagaimana kisah Orang Asal dan kehidupan atlet olahraga diadun bersama. Yang pertama bermula kisah-kisah keluarga beliau sendiri yang diceritakan oleh moyang beliau.
Perempuan Nan Bercinta
Faisal Tehrani
Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)
2012
410
Perempuan Nan Bercinta adalah pengakuan Faisal Tehrani, bukan label provokatif yang over-rated baginya. Karya inilah yang mencerminkan sarwa pandangnya terkini.
Pembaca yang baik tidak terburu-buru untuk menyimpulkan karya ini sebagai sekuel kepada Tuhan Manusia berdasarkan nama watak seperti Dr. Ali Taqi dan keluarganya, Khadijah si isteri, Hussein, Zainab, dan Siti Fatimah anak-anaknya.
Seperti Tuhan Manusia, Ali Taqi meneruskan jihad terhadap jalur-jalur pemikiran barat. Liberalisme sebagai tunjang, dan kini feminisme menjadi sasaran.
Kebijaksanaan Faisal Tehrani terserlah apabila kelangsungan persoalan dari Tuhan Manusia dijawab dalam novel ini yang menjadi titik utama menjadikan Perempuan Nan Bercinta sebagai sekuel kepada Tuhan Manusia. Selepas Zehra dan meninggalnya Talha, Tengku Idora pula menjadi mad’u (orang yang didakwahkan) beliau.
Maka berlangsunglah bahagian pertama novel ini dengan ‘lembut’ berputar kepada pergulatan watak masing-masing dalam pencarian secara imbas kembali. Tidak mengejutkan, pencarian mereka berjejak kepada Dr. Ali Taqi. Bab 18 inilah bermulanya bahagian kedua novel ini, dan Siti Fatimah binti Ali Taqi muncul dengan cintanya yang penuh dengan penantian.
Dari sini, ‘pertempuran’ menjadi berjela-jela dan lebih dahsyat terserlah dalam temu ramah bersama Dr. Ali Taqi dalam bab 29. Dr. Ali Taqi tidak mampu menahan dirinya, mungkin emosinya terganggu disebabkan tuduhan sebagai agen Iran oleh WikiLeaks hingga terpacul kalimah kasar dan angkuh seperti “Untuk menjawab soalan dangkal saudara…” dan “… saya tidak menulis untuk ditujukan kepada tuan-tuan. Saya mengarang untuk masa hadapan.”
Pada usia 31 tahun, buya HAMKA telah menghasilkan karya yang mencarik adat. Masakan tidak, beliau seorang alim dalam bidang agama menulis novel cinta atau roman.
Secara zahir, tema cinta ialah satu klise dalam karya sastera melainkan penulisnya secara bijaksana mengangkat persoalan lain seperti Shakespeare dan Sasterawan Negara Usman Awang. Mereka mengangkat persoalan perbezaan darjat yang menyekat hubungan cinta antara dua insan. Itulah yang menyebabkan Romeo and Juliet, serta Uda dan Dara terus dikenali sehingga hari ini.
Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck juga mengikut jalan cerita yang hampir serupa dengan Uda dan Dara, iaitu cinta yang tidak kesampaian dek perbezaan darjat. Cuma inti kritikan sosial karya ini lebih berbisa, adat-adat lama yang bukan sahaja mengekang kemajuan bahkan menjurus kepada ketidakadilan. Hal ini begitu sinonim dengan beliau yang tergolong dalam kelompok Kaum Muda.
Bab pertama “Anak Orang Terbuang” telah menonjolkan mesej utama yang ingin buya HAMKA sampaikan menerusi novel ini. Ia mengisahkan Pendekar Sutan, ayah Zainuddin dan bagaimana beliau boleh terbuang ke Mengkasar gara-gara membunuh ayah saudaranya:
“Itu jangan disebut,” kata Datuk Mantari Labih. “Itu kuasaku, saya mamak di sini, menghitamkan dan memutihkan kalian semuanya dan menggantung tinggi membuang jauh.”
“Meskipun begitu, hukum zalim tak boleh dilakukan,”
Setelah ibu bapanya tiada dan Zainuddin sudah dewasa, belia meninggalkan tanah Mengkasar dan Mak Basenya balik ke kampung asalnya. Walaupun tidak juga diterima di ranah Minang, namun hatinya telah dipikat gadis yang bernama Hayati. Bermulalah episod-episod cinta bersulam bahasa indah susunan buya. Zainuddin bekerja keras ingin menikahi Hayati secara sah, namun terhalang dek adat yang mengekang.
Dia membawa hatinya yang lara ke Padang Panjang. Begitulah dia diperlakukan oleh orang yang seagama, padahal yang dituntut agama agar bermuamalah dengan baik sesama insan tanpa mengira bangsa dan keturunan.
Terasa hampir padamlah cahaya hidupnya, namun muncul seorang Perewa bernama Abang Muluk yang menasihatinya agar memanfaatkan ilmu dan bakatnya, daripada menanggung cinta yang tidak kesampaian.
Setelah beberapa tahun kemudian, mereka bertemu semula dan Zainuddin telah terkenal sebagai seorang pengarang. Adakah mereka masih menaruh hati lagi, atau saling menyimpan dendam?