Tag: novel

  • Kontroversi Sebongkah Batu di Kuala Berang

    Sebongkah Batu di Kuala Berang
    Faisal Tehrani
    2011

    Saya hampir tidak menyangka ia novel karya Faisal Tehrani. Seingat saya, antara novel-novel yang pernah dihasilkannya inilah yang paling nipis. Namun karya pertama beliau bersama penerbit  PTS tidak mengecewakan bahkan punya makna tersendiri. (Ulasan ini ditulis sebelum keputusan JAKIM mengharamkan penjualan novel ini)

    Faisal Tehrani tak jemu-jemu berkhutbah kepada pembaca dengan 1001 fakta dan maklumat  buat mengenalkan kita akan sejarah agama dan bangsa. Walaupun berfokus kepada Batu Bersurat Kuala Berang yang mencatatkan tarikh kedatangan Islam ke Alam Melayu ini, kita dihiburkan dengan watak-watak budaya popular seperti Sharifah Ezzati atau Nono dan Seeta Adeeni yang tergila-gilakan hero Malaya Azhan Kaya.

    Tugasan akhir sekumpulan pelajar Akademi Seni Islam untuk menyiapkan doku-drama mengenai kedatangan Islam ke Tanah Melayu akhirnya gagal, tetapi diberi penamat yang tidak mudah ditelah pembaca.

    Kontroversi  Faisal Tehrani

    Saya kurang pasti mengapa beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia blog. Adakah ditekan dek isu penahanan pengikut Syiah Malaysia 10 Muharam yang lalu atau kesibukannya sebagai pensyarah di Akademi Seni & Warisan Kebangsaan(ASWARA)?

    (more…)
  • Negeri 5 Menara – Kisah Budak Pondok

    Negeri 5 menara Book Cover Negeri 5 menara
    A. Fuadi
    Indonesian fiction
    PT Gramedia Pustaka Utama
    2009
    444

    Seumur hidupnya Alif tidak pernah menginjak tanah di luar ranah Minangkabau. Masa kecilnya dilalui dengan berburu durian runtuh di rimba Bukit Maninjau. Tiba-tiba dia harus melintas punngung Sumatra menuju sebuah desa di pelosok Jawa Timur.

    Dalam satu kuliah, Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam pernah meluahkan rasa betapa institusi pengajian agama seperti pondok dipandang remeh oleh masyarakat kini. Usahlah kita mengimpikan untuk melahirkan ulama’ terbilang seperti Dr. Yusuf Al-Qaradawi sekiranya kita mengkastakan pelajar cemerlang ke kelas sains manakala yang lain memenuhi bidang sastera, sains sosial bahkan agama.

    Walaupun kecewa dengan pelaksanaan dasar pendidikan sebegini, saya temui kebahagiaan dalam novel yang diinspirasikan dari kisah hidup penulisnya, A Fuadi. Mengkhayalkan dirinya sebagai Alif di dalam novel, ia bertitik tolak dari harapan ibu yang bertentangan dengan cita-cita si anak.

    Alif mengimpikan dirinya bakal menjadi jurutera sehebat BJ Habibie, sedangkan ibunya mengharapkan anaknya mengikut jejak langkah Buya HAMKA. Dalam rasa terpaksa, beliau membawa hati ke Pondok Madani.

    Di sana beliau bertemu dengan 5 orang sahabatnya yang lain. Menempuhi pelbagai pengalaman yang memberi erti kepada seorang anak remaja lantas mereka menanam mimpi saat awan-gemawan petang berarak di kaki langit. Pondok mereka istimewa. Semuanya bisa berbahasa Arab dan Inggeris hatta mengigau dalam tidur!

    Cerita Ikhlas, Kisah Yang Gigih

    Mas A Fuadi begitu kreatif melakar kisah hidupnya di pesantren. Kisah yang jarang-jarang didengari masyarakat, malahan beliau begitu bijak meletakkan unsur-unsur humor dalam novel ini. Perhatikan tajuk beberapa bab seperti Maradona Hafal Quran dan Agen 007 yang memancing minat pembaca.

    Namun, novel ini meletakkan falsafah hidup yang besar berpaksikan kata hikmah Man Jadda Wajada (Barang siapa berusaha, dia akan berhasil). Kegigihan sebegitu tidak akan berhasil jika tidak dimulai dengan keikhlasan, yang ditunjukkan oleh para guru di Pondok Madani atau secara realitinya Pondok Moden Gontor.

    Alif juga menyaksikan keistimewaan para gurunya, walaupun mereka bergelar Kiyai bertaraf alim ulama’ mereka juga menguasai bidang lain seperti sukan dan juga muzik. Inilah keistimewaan pondok yang sebuah ini dengan kiyai mereka mampu beraksi lincah di padang bola!

    Novel ini mengajar kita bahawa siapa dan latar belakang kita bukanlah penentu masa depan, sebaliknya usaha yang kita anyam daripada cita-cita kita yang melangit. Beranilah bermimpi menggapai bintang tertinggi dengan bekerja seikhlas hati kita!