Kebudayaan dalam Ilmu menurut Prof. Shaharir Mohd Zain

Muhammad Fakhruddin
Latest posts by Muhammad Fakhruddin (see all)

Usai pulang ke Lembah Klang, saya sempat hadir ke satu dua diskusi, salah satunya anjuran Kelas Pencerahan yang menjemput Prof. Shaharir Mohd Zain menghuraikan ucapan balas penerimaan Profesor Emeritusnya (boleh dibaca di RoketKini).

Tajuk yang dicadangkan Prof. untuk malam itu berkisar Kebudayaan dalam Ilmu. Seperti kebanyakan penyampai, beliau terlebih dahulu ‘membersihkan’ kefahaman kepada makna kebudayaan yang telah disempitkan kepada aspek keseniaan semata-mata. Tidak sah sekiranya tidak menyentuh tokoh ilmuwan, Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang telah menghuraikan konsep kebudayaan dalam syarahan perdananya yang bertajuk Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu.

Menurutnya, kayu ukur tertinggi kebudayaan boleh dinilai berdasarkan tiga aspek iaitu bahasa, agama dan ideologi, serta ilmu. Walaupun kata ‘budaya’ ini baru sahaja muncul dalam bahasa kita, ia telah wujud dalam konsep ‘budi’ (kata yang tercantum dalam budaya tadi) yang berakar daripada tamadun Hindu-Buddha. Daripada penelitian beliau terhadap peribahasa Melayu yang mempunyai kata ‘budi’, lebih separuh daripadanya merujuk kepada ilmu.

Ilmuwan Melayu abad ke-15, Bukhari Al-Jauhari telah menulis salah satu bab dalam bukunya yang menyentuh berkenaan konsep budiman, yang menghampiri konsep ulul albab yang digagaskan Al-Quran. Justeru falsafah ilmu sebenarnya telah wujud dalam konteks kebudayaan Melayu ini, menerusi rangkaian konsep tahu (Melayu), widya dan budi (Hindu-Buddha) serta ilmu (Arab).

Sebagai ahli sains, beliau melihat ilmu-ilmu yang diajar dan dipelajari kita selama ini diterima begitu sahaja tanpa kritik terhadap unsur-unsur kebudayaan asing yang terkandung di dalamnya. Hal ini secara tidak langsung menggambarkan rasa rendah diri kita terhadap tradisi keilmuwan sendiri.

Rasa rendah diri itu bukan sahaja lama-kelamaan akan mematikan wahana ilmu itu dipelajari (bahasa Melayu), bahkan meresap ke dalam pandangan alam ahli-ahli bidang tersebut. Fenomena ini yang beliau gelar sebagai Galileoisme, yang menempatkan kebenaran sains pada tempat tertentu, dan kebenaran agama pada tempat tertentu. Sebelum hukuman gereja ke atas Galileo ini, tradisi pengajian sains di Eropah masih berkait dengan tradisi Kristian diserlahkan dalam istilah philosophia naturalis.

Menurut Prof. Shaharir lagi, bagi memajukan tradisi keilmuan tempatan memerlukan usaha menghasilkan model yang bersumberkan kebudayaan sendiri. Pada masa yang sama perlu digerakkan kritik-kritik kepada ilmu yang sedia ada berbanding berpaut kepada ilmu-ilmu sedia ada. Misalnya bagi tujuan menunjukkan kebenaran Islam menggunakan kaedah dan penemuan sains masa kini yang sarat dengan nilai yang sangat asing daripada Islam.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.