Asas Awal Memahami Siasah dan Fiqhnya

Indahnya Politik Cara Islam
Zaharuddin Abdul Rahman
2012

Dalam kehidupan beragama umat Islam di Malaysia, banyak persoalan dan isu yang dihadapi disikapi dengan garis halal haram sesuatu. Hal ini menunjukkan betapa mengakarnya orientasi hukum dalam pengajian Islam, sedangkan kefahaman fiqh juga menuntut kefahaman pelbagai ilmu alat dan ilmu semasa seperti sejarah, ekonomi dan sosiologi.

Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman telah menghasilkan buku Indahnya Politik Cara Islam yang menghimpunkan pelbagai isu politik ditimbang daripada kaca mata Islam. Namun pemilihan tajuk sebegini menunjukkan orientasi hukum dalam menanggapi bidang politik yang serba kompleks, walaupun Ustaz Zaharuddin telah berusaha menunjukkan kaedah-kaedah fiqh bagi memahami hukum berkaitan sesuatu isu.

Prinsip-prinsip Politik dalam Islam

Sudah tentu beberapa isu politik, khususnya dengan perkembangan terkini di Malaysia, sangat berkait rapat dengan Islam. Sumber Al-Quran, hadith dan sirah nabawiyah dipetik bagi menatijahkan tindakan politik yang diambil oleh golongan tertentu. Hal ini menimbulkan kekeliruan golongan awam tanpa dipandu ilmu alat yang sesuai bagi memahami dalil dalam konteks semasa.

Mengambil makna umum kata siyasah (hirasah ad-deen wa siyasah ad-dun-ya bihi) terkandung prinsip-prinsip asas yang ditunjukkan Al-Quran dan As-Sunnah dalam berpolitik seperti menyuruh kebajikan dan mencegah kemungkaran, menegakkan keadilan dan jihad melawan kezaliman. Ulama’ juga telah mengkaji prinsip-prinsip asas ini dengan lebih lanjut, seperti berikut:

  1. Tawhid
  2. Amanah
  3. ‘Adl wa Ihsan
  4. Shura
  5. Ukhuwwah
  6. Islah
  7. Maqasid al-Shari’ah
  8. Bai’ah
  9. Muhasabah

Perbahasan Siyasah Syari’ah

Perbahasan politik juga tidak lari daripada pemahaman terhadap sejarah yang melatari banyak karya-karya ulama’ berkaitan dengan politik, misalnya Imam Abu Hasan As-Ash’ari, Imam Juwayni, Imam Al-Mawardi, Ibn Taimiyah dan Ibn Khaldun.

Dalam sejarah pemikiran Islam, isu politik mula-mula dibincangkan dalam kitab-kitab aqidah dan ilmu kalam hasil karya Al-Baqilani, Imam Abu Hasan As-Asha’ri dan Imam Ahmad bin Hanbal. Persoalan-persoalan politik yang disentuh ialah persoalam imamah (kepimpinan), kedudukan para sahabat radhiyallahu ‘anhum serta kepatuhan dan khuruj ‘ala imam sebagai respon kepada golongan Syiah dan Khawarij.

Sesudah tempoh awal ini, barulah persoalan politik dikupas dari sudut fiqh melibatkan falsafah dan institusi politik. Antara ulama’ yang terkenal membahaskan peranan khusus institusi khalifah ialah Imam Al-Mawardi menerusi karyanya Al-Ahkam Al-Sulthaniyah dan kritik terhadap karya ini oleh Imam Haramayn Al-Juwayni menerusi kitab Al-Ghiyath.

Pemikiran politik pula disentuh oleh Ibnu Taimiyah menerusi kitab As-Siyasah As-Syari’ah fi Islahi Ar-Ra’i wa Ar-Ra’iyah dan turut diikuti anak muridnya Ibn Qayyim. Tanpa diulas lanjut, Ibn Khaldun dikenali menerusi penulisan Muqadimah yang merupakan pendahuluan kepada penulisan ensiklopedia beliau mengenai sejarah.

Berdasarkan kefahaman terhadap dalil-dalil Al-Quran dan As-Sunnah, ulama’ memahami bahawa perkara siyasah syari’ah terutamanya pada masa kini berada dalam lingkungan fiqh muamalat. Barang diingat bidang muamalat jangan sekadar dipandang berkaitan dengan harta dan kewangan (maaliyah) semata-mata, bahkan meliputi perkara jinayah, munakahat, dakwah dan akhlak. Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman memetik kaedah yang digariskan Imam As-Syatibi dalam magnum opusnya, Al-Muwafaqat:

Hukum ghalib dan asal bagi hal ehwal muamalat dan adat adalah penelitian objektifnya.

Maqasid dan Maslahah bukan Mainan Kata

Daripada kefahaman inilah, para sahabat radhiyallahu ‘anhum melakukan pelbagai perubahan daripada sudut pelaksanaan urusan muamalat, selagi mana tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip asas yang terkandung dalam Al-Quran dan As-Sunnah, disebut sebagai thawabit.

Inilah yang ditunjukkan oleh kaedah-kaedah pemerintahan yang dilaksanakan oleh Khulafa ar-Rasyidin selepas kewafatan Nabi sallahu ‘alaihi wasalam, antaranya yang terkenal ialah awlawiyat Saidina Umar Al-Khattab. Ijtihad-ijtihad yang dibuat oleh Saidina Umar perlu difahami menurut konteks pada masa itu.

Banyak pandangan-pandangan Saidina Umar turut diiktiraf oleh Rasulullah sallahu ‘alaihi wasalam dan sesudah kewafatan baginda, masih ramai sahabat-sahabat yang mempunyai keilmuan yang tinggi yang turut berfungsi menasihati Saidina Umar dalam setiap keputusan yang dibuatnya. Inilah amalan konsep syura yang subur pada zaman Rasulullah dan Khulafa’ ar-Rasyidin.

Pada masa ini, satu bidang yang semakin mendapat perhatian umum ialah bidang maqasid as-syari’ah, salah satu cabang daripada ilmu usul fiqh melibatkan pertimbangan antara maslahah (kebaikan) dan mafsadah (keburukan). Perlu difahami bahawa aplikasi maqasid as-syari’ah diikat oleh beberapa syarat oleh ulama’ antaranya Imam As-Syatibi yang menulis kitab al-Muwafaqat, khusus mengenai bidang ini:

  1. Maslahah melibatkan maslahah duniawi dan ukhrawi.
  2. Maslahah diterima pakai dalam hal kebaikan untuk Islam.
  3. Mengutamakan maslahah yang menjaga hak ramai berbanding hak kelompok.
  4. Maslahah bersandar kepada dalil-dalil yang jelas.

Selain daripada pembahagian kepada maslahah duniawi dan ukhrawi, maslahah juga dikenal pasti pada tahap keperluan seperti dharuriyat, haajiyat dan tahsiniyat. Cabang ilmu ini melibatkan pengurusan apabila berlakunya pertembungan antara dua maslahah, pertembungan dua mafsadah dan juga pertembungan antara maslahah dan mafsadah.

Kesimpulan

Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman telah meletakkan beberapa asas penting untuk pembaca memahami bidang yang serba kompleks ini. Setiap topik atau isu yang dikupas, disusun dengan meletakkan dalil Al-Quran dan As-Sunnah sesudah itu kaedah fiqh atau kupasan ulama’ mengenai isu terbabit. Banyak lagi isu terperinci yang disentuh oleh penulis yang boleh dibincangkan bersama.

Muhammad Fakhruddin

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.