HAMKA dan Peribadi Merdeka

Muhammad Fakhruddin
Latest posts by Muhammad Fakhruddin (see all)

Ketika ramai orang memperkatakan novelnya, saya mengenali buya HAMKA lewat karya non-fiksyen, iaitu buku Tasawuf Moden. Tidak pula dapat saya kenal pasti buku manakah yang beliau tulis atau terbitkan terlebih dahulu, cuma terdapat catatan dalam bahagian Pendahuluan yang mencatatkan tarikh Januari 1950, beberapa tahun selepas Republik Indonesia diisytiharkan merdeka.

Secara umumnya, gaya penulisan buku ini hampir kepada gaya penulisan buku-buku genre self-help yang popular pada masa kini. Buku ini dimulakan dengan pendefinisian peribadi, faktor-faktor yang memunculkan sesebuah peribadi, faktor penguat dan pelemah serta kesempurnaan sesebuah peribadi. Tidak menghairankan sekiranya buya HAMKA banyak memetik pandangan tokoh-tokoh barat, seperti Socrates, Schopenhauer dan Tolstoy.

Pada tempat-tempat tertentu, ditunjukkan tokoh-tokoh Barat yang sesuai seperti Arstide Briand dan Lloyd George. Hal ini bukanlah bermaksud kekaguman HAMKA terhadap Barat, melainkan menunjukkan begitu luas pembacaan beliau sehingga mencakupi tokoh ilmu dan siasah di Barat pada zaman tersebut. Sebagai pengimbang, turut beliau tonjolkan tokoh-tokoh politik Timur pada era tersebut seperti Saad Zaghlul Pasya, Raja Saud, Mohammad Hatta serta Haji Agus Salim.

Peribadi Merdeka

Titik yang membezakan buku kecil HAMKA ini dengan deretan buku self-help yang kita dapati kini ialah penekanannya kepada peribadi yang merdeka. Seawal bahagian Pendahuluan lagi, beliau menyatakan bahawa:

Kekerasan didikan orang tua merampas kemerdekaan anaknya, kurang tanggungjawab gurunya yang mengajar, ada dalam masyarakat yang kolot dan bodoh, yang belum pandai menghargai pertumbuhan seseorang. Dan di atas itu ada lagi penjajahan bangsa atas bangsa.

Perihal kemerdekaan sangat jelas dibahaskan dalam bahagian tertentu, misalnya perbincangan mengenai sifat berani. HAMKA, yang menulis dari sudut pandang seorang penulis, menyatakan bahawa orang yang berani mengambil pendirian tidak takut kepada kemerdekaan orang lain mengkritik tulisan sendiri. Dalam perbincangan mengenai tawaduk yang beliau terjemahkan sebagai tahu diri, beliau menyatakan bahawa orang yang mengetahui harga dirinya dan tempatnya tidak akan sombong dan bohong. Hurainya lagi, tawaduk bukan bererti menjadikan diri sendiri hina dan segan terhadap khalayak, sebaliknya pandai menyesuaikan diri.

Melihat kepada latar penulisan karya ini menjelaskan tujuan sebenar karangan ini dihasilkan. Dalam keadaan negara yang baru mendapat kemerdekaan, pelbagai cabaran dari segenap aspek perlu dihadapi oleh pemerintah dan juga masyarakat pada waktu itu. Oleh itu, HAMKA menulis agar masyarakat sedar bahawa peribadi insan yang baik dan unggul kelak akan melahirkan bangsa yang berjaya dan dihormati dunia. Hal ini lebih ketara dalam bab-bab terakhir buku ini, yang banyak menjalinkan unsur keunggulan peribadi insan dengan pembinaan peribadi bangsa.

Bagi mencapai tujuan itu, beliau menegaskan bahawa pembinaan bangsa baru ini haruslah berupaya melahirkan peribadi pemikir dan peribadi pekerja. Kedua-dua peribadi ini memerlukan pada pendidikan cara baru, dengan maksud pendidikan yang berbeza daripada sistem pendidikan yang diwujudkan oleh penjajah masa lalu. Pendidikan tersebut mestilah seimbang antara memahami ilmu dan unsur-unsur alam yang materi, seiring dengan ilmu rohani dan kejiwaan bagi mencapai kebahagiaan.

Pada beberapa tempat yang membahaskan isu agama, pendidikan dan ilmu, sering kali saya bertemu pandangan HAMKA yang mirip kepada pandangan Zaaba dalam buku ‘Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri’. Dalam hal-hal tersebut, kedua-dua penulis berpendapat agar kita dapat bersikap terbuka dalam kajian ilmu termasuklah dalam hal ilmu agama. Mereka menggalakan perbincangan yang kritikal terhadap hal-hal terbabit, agar perbahasan dan pandangan baru akan terbit sesuai dengan peredaran zaman.

Begitulah HAMKA merumuskan peribadi merdeka, yang menjadi nadi kekuatan sesebuah bangsa.

Peribadi Book Cover Peribadi
Dr. Hj Abdul Malik Karim Amrullah HAMKA
PTS
2017

Posted

in

by

Comments

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.