Author: Muhammad Fakhruddin

  • Biblioholisme, Sakit Yang Bukan Penyakit

    Biblioholisme: Menelusuri Pesona Dunia Buku dan Pencintanya Book Cover Biblioholisme: Menelusuri Pesona Dunia Buku dan Pencintanya
    Shaharom T.M. Sulaiman
    Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)
    2012
    Paperback
    106

    Di luar perancangan, saya rupanya sedang menatap dua buah buku seputar dunia buku dan pembacaan. Pertama, buku How To Read A Book dan kedua Biblioholisme buah tangan tuan Shaharom TM Sulaiman. Buku yang hanya setebal 106 muka surat ini merupakan rangkuman 26 tulisannya sebagai kolumnis di pelbagai majalah dan akhbar seperti Massa, KOSMO dan Utusan.

    Sejumlah esei ini kemudiannya dibahagikan kepada empat bahagian, iaitu Buku dan Daya Pikatnya; Biblioholisme: Mengenal Dunia Pencinta Buku; Travelog Pencinta Buku; serta Sisi Aneh Dunia Buku. Secara peribadi, saya membahagikan buku ini kepada dua, satu bercerita mengenai sosok pencinta buku manakala seterusnya mengenai dunia buku dan perpustakaan.

    Tuan Shaharom yang berpengalaman luas sebagai pustakawan di Perpustakaan Negara Malaysia berjaya merakamkan pencinta buku yang tak didendang, the unsung bibliophile seperti Jaafar Abd. Rahim dan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir. Insan seperti ini, menurut beliau tidaklah berpendidikan tinggi namun kecintaan kepada buku dan ilmu menjadikan mereka terpandang di mata penyelidik bahkan orientalis!

    Disebabkan batasan panjang sebuah kolum, sayang saya tidak dapat menikmati sepenuhnya tulisan-tulisannya terutama sekitar dunia buku dan perpustakaan. Berbeza sekali dengan bacaan saya terhadap himpunan esei HAMKA dari kolum di majalah Panji Masyarakat, mungkin sahaja lebih panjang atas kapasiti buya HAMKA selaku editor di majalah berkenaan.

    Ada satu dua coretannya yang menarik mengenai pandangannya terhadap buku berbentuk memoir dan juga catatan pengalamannya di lautan manuskrip di Iran. Suatu pelajaran buat kita mengenai cumulative spirit, menurut Prof. Syed Hussein Alatas dalam kalangan orang Syiah memelihara tradisi keilmuan mereka zaman-berzaman.

    Walaupun esei-esei pendek beliau ini ada ketikanya kurang nikmat bagi saya, buku ini begitu baik sebagai hadiah dari seorang bibliofil kepada rakan-rakannya yang baru berjinak dalam dunia membaca.

  • Quran and Cricket: Makna Setiap Kelana

    Qur'an and Cricket Book Cover Qur'an and Cricket
    Farish Ahmad Noor
    Asia
    Silverfishbooks
    2009
    288

    Author visits and interviews students and others in “jihad factory” madrasahs (Islamic seminaries). Includes travels in Afghanistan, Egypt, India, Libya, Malaysia, Pakistan, Sri Lanka, Thailand, and Vietnam.

    Buku ini kerap mencuri tumpuan saya sejak dulu, sosok Farish Noor berpakaian ala Pakistan dilatari peta kekuningan. Nama Dr. Farish Noor bukanlah asing dalam bidang sejarah dan sains politik, namun tajuk buku ini pada pandangan pertama saya sangat aneh. Sehinggalah saya membacanya.

    Quran and Cricket ialah catatan kembara – travelog – semasa beliau sedang menyiapkan kajian di beberapa negara seperti Tanzania, Pakistan, India, Indonesia dan selatan Thailand. Turut terselit catatan peribadi dalam kunjungannya ke Sri Lanka dan padang pasir Sahara.

    Quran and Cricket bukan sekadar memjejerkan bangunan atau tempat tumpuan pelancong, sebaliknya mendekati denyut nadi masyarakat setempat dengan analisis sejarah ataupun renungannya yang mendalam. Teras catatan kembara beliau seputar kajiannya mengenai hubungan madrasah di Asia Selatan dengan Nusantara, sekitar 2003 sewaktu Amerika giat memalu gendang ‘war on terrorism’ pasca peristiwa 11 September.

    Madrasah dicop sarang atau markas latihan para pengganas, dan beliau masih berani memasuki madrasah-madrasah ini antaranya Darul Uloom di Deoband. Perlu juga disebut beliau berpeluang menemu ramah tokoh yang dikehendaki Amerika dari negara serumpun, Ustaz Abu Bakar Bashir.

    (more…)
  • Pengakuan Perempuan Nan Bercinta

    Perempuan Nan Bercinta
    Faisal Tehrani
    Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)
    2012
    410

    Perempuan Nan Bercinta adalah pengakuan Faisal Tehrani, bukan label provokatif yang over-rated baginya. Karya inilah yang mencerminkan sarwa pandangnya terkini.

    Pembaca yang baik tidak terburu-buru untuk menyimpulkan karya ini sebagai sekuel kepada Tuhan Manusia berdasarkan nama watak seperti Dr. Ali Taqi dan keluarganya, Khadijah si isteri, Hussein, Zainab, dan Siti Fatimah anak-anaknya. 

    Seperti Tuhan Manusia, Ali Taqi meneruskan jihad terhadap jalur-jalur pemikiran barat. Liberalisme sebagai tunjang, dan kini feminisme menjadi sasaran.

    Kebijaksanaan Faisal Tehrani terserlah apabila kelangsungan persoalan dari Tuhan Manusia dijawab dalam novel ini yang menjadi titik utama menjadikan Perempuan Nan Bercinta sebagai sekuel kepada Tuhan Manusia. Selepas Zehra dan meninggalnya Talha, Tengku Idora pula menjadi mad’u (orang yang didakwahkan) beliau.

    Maka berlangsunglah bahagian pertama novel ini dengan ‘lembut’ berputar kepada pergulatan watak masing-masing dalam pencarian secara imbas kembali. Tidak mengejutkan, pencarian mereka berjejak kepada Dr. Ali Taqi. Bab 18 inilah bermulanya bahagian kedua novel ini, dan Siti Fatimah binti Ali Taqi muncul dengan cintanya yang penuh dengan penantian.

    Dari sini, ‘pertempuran’ menjadi berjela-jela dan lebih dahsyat terserlah dalam temu ramah bersama Dr. Ali Taqi dalam bab 29. Dr. Ali Taqi tidak mampu menahan dirinya, mungkin emosinya terganggu disebabkan tuduhan sebagai agen Iran oleh WikiLeaks hingga terpacul kalimah kasar dan angkuh seperti  “Untuk menjawab soalan dangkal saudara…” dan “… saya tidak menulis untuk ditujukan kepada tuan-tuan. Saya mengarang untuk masa hadapan.” 

    (more…)